helikopter terhempas taliban
Petikan video Daily Mail

Helikopter Black Hawk US Terhempas Semasa Latihan Tentera, 3 Maut

Nurhanis

Tiga individu maut manakala lima lagi cedera selepas sebuah helikopter peninggalan Amerika Syarikat (US) yang digunakan untuk latihan ketenteraan Taliban terhempas dalam kejadian di Kabul, Afghanistan baru-baru ini.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Taliban, Enaytullah Kowrazmi mengesahkan, helikopter itu terhempas ekoran masalah teknikal yang dihadapi.

“Masalah teknikal merupakan punca utama helikopter Black Hawk US yang digunakan ketika latihan terhempas di dalam kampus Universiti Pertahanan Nasional (Afghanistan),” katanya apabila memberi pengesahan mengenai kejadian itu.

Sebelum itu, Taliban turut menguasai beberapa pesawat buatan US selepas tentera negara itu berundur dari Afghanistan pada Ogos tahun lalu setelah perang selama dua dekad.

Namun sehingga kini, jumlah helikopter peninggalan tentera US yang masih berfungsi masih tidak dikenal pasti setakat ini.

Menurut Independent, sebelum meninggalkan negara itu, difahamkan tentera US didakwa sengaja merosakkan beberapa pesawat, sistem senjata, helikopter dan kereta berperisai di sekitar Lapangan Terbang Kabul.

Selepas US tidak lagi menguasai Afghanistan, berpuluh juruterbang dilapor melarikan diri dari negara itu apabila melihatkan kerajaan mereka tumbang tahun lepas.

Dalam pada itu, beratus tentera Afghanistan juga didakwa telah menerbangkan pesawat ke negara Asia Tengah termasuk Tajikistan setelah menguasai Afghanistan pada pertengahan Ogos.

Pengunduran US dari Afghanistan mencetuskan suasana ‘tidak aman’ apabila beribu rakyat Afghanistan dilihat terdesak untuk meninggalkan negara.

Seperti yang pernah dilapor media, ada sebahagian mereka berpusu-pusu ke Lapangan Terbang Kabul untuk mencari jalan ‘keluar’ sebelum pesawat kargo terakhir US berlepas.

Sumber: Independent