
Hebat, 3 Pelajar Malaysia Raih Pointer 4.00 & Terima Anugerah Dekan
Tiga pelajar Malaysia di luar negara mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan semester.
Berita baik ini telah disampaikan Pejabat Penasihat Pendidikan dan Latihan (PPL), Jabatan Perkhidmatan Awam (Malaysia) di Washington DC.
Berdasarkan hantaran berkenaan, ketiga-tiganya merupakan penuntut di universiti terkemuka di Amerika Syarikat.
Mereka berjaya memperoleh keputusan GPA 4.00 pada Semester Musim Luruh pada 2023.
Selain itu, mereka juga berjaya merangkul Anugerah Dekan daripada tempat pengajian masing-masing.
Pelajar Malaysia di Amerika Syarikat catat pointer 4.00
Mereka adalah Faris Hazim Bin Mohamed Zaimir iaitu mahasiswa Universiti Wisconsin-Madison.
Hazim ketika ini sedang mengikuti pengajian dalam bidang Sains Data di Jabatan Statistik, Fakulti Komputer, Data dan Sains Informasi.
Selain itu, kejayaan turut dilakar oleh pelajar Sains Komputer, Muhammad Haikal Bin Rozaidi yang menuntut di Universiti Negeri Ohio.
Turut mencipta nama adalah Maryam Atiqah Binti Abdul Manaf, pelajar Kejuruteraan Alam Sekitar di universiti yang sama.
“Syabas dan tahniah sekali lagi. Semoga terus berjaya mengekalkan kecemerlangan di dalam semester yang akan datang,” kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu, JPA dalam perkongsian berbeza turut berharap pencapaian ketiga-tiga pelajar ini menjadi motivasi kepada penerima biasiswa JPA yang lain.
Terdahulu, Nurul Jannah Binti Zamber berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan sebagai pelajar terbaik di Universiti Rutgers dalam bidang Kejuruteraan Bioperubatan pada 2019.
Beliau telah berjaya mendapat keputusan CGPA 3.95 dan mencapai Cum Laude atau The Highest Honors.
Selain itu, anak kelahiran Johor itu turut menerima Anugerah Samuel Welkowitz Award daripada universiti tersebut.
Anak sulung daripada tiga beradik itu merupakan alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba.
Selepas menghabiskan persekolahan, beliau melanjutkan pengajian peringkat praijazah di Kolej Komuniti Foothill, Los Altos, California.
Nurul Jannah telah meneruskan pengajiannya dalam American Degree Preparatory Program (MADP) selama dua tahun di sana.
Kemudian, diikuti dengan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioperubatan di Rutgers University, New Brunswick, Amerika Syarikat.
BACA: Ingatkan Tengkolok Sahaja, Ini 7 Pakaian Istiadat Diraja Perlu Diketahui
Sumber: Pejabat PPL Washington DC via Facebook