lelaki maut renjatan elektrik
Gambar: Sinar Harian

Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Bertukang Siapkan Rumah

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Bertukang Siapkan Rumah

Seorang lelaki dilaporkan maut ketika sedang menyiapkan aras atas rumah miliknya di Kampung Tok Kaya, Labok pada Isnin, lapor Sinar Harian.

Pembinaan rumah berkenaan sudah pun diusahakan sejak tiga tahun yang lalu.

Mangsa yang berusia 54 tahun dilaporkan sedang melakukan kerja-kerja pertukangan sambil dibantu isterinya dalam kejadian yang berlaku pada 5.00 petang.

Menurut Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Mohd Adli Mat Daud, siasatan awal mendapati mangsa telah memegang kerangka besi bumbung semasa sedang bertukang.

Kemudian, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori itu telah terkena renjatan elektrik selepas memegang bahagian tersebut.

“Ekoran itu, mangsa tidak sedarkan diri dan tergantung di bahagian bumbung,” ujarnya.

Isteri mangsa yang melihat keadaan suaminya kemudian menjerit meminta pertolongan sebelum anak saudaranya menghubungi talian kecemasan.

“Terkejut dengan kejadian itu, isteri mangsa menjerit meminta pertolongan. Anak saudaranya yang berjiran dengan mangsa telah datang dan menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut,” kata Mohd Adli lagi.

Terdapat wayar yang bersentuhan dengan tetulang bumbung

BACA: Tak Perlu Ambil Cuti & Beratur, Ini Cara Nak “Renew” Lesen Memandu Secara Online

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian mendapati wayar penyambung telah terkoyak dan bersentuhan dengan tetulang bumbung terbabit.

Menurut Mohd Adli, wayar tersebut telah disambungkan dengan mesin gerudi bagi proses pertukangan di atas bumbung semasa kejadian tersebut.

Beliau juga memberitahu bahawa segala kerja penambahan pada rumah tersebut sejak tiga tahun lalu telah dilakukan oleh mangsa.

“Mangsa melakukan perkara itu selepas tamat waktu bekerja sebagai pemandu lori.”

Dalam laporan SInar Harian, Mohd Adli memberitahu bahawa mayat mangsa telah berjaya dibawa turun pada malam semalam.

“Mayat mangsa berjaya dibawa turun dengan bantuan anggota JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) pada jam 7.00 malam,” katanya.

Mangsa itu disahkan telah meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan Hospital Machang pada jam 7.05 malam, tambah Mohd Adli.

BACA: ‘Gerenti’ Jadi, Cara Buat Tempe Sendiri Di Rumah, Hanya Guna 3 Bahan

Sumber: Sinar Harian