Pemilik Kelantan Football Club (FC), Norizam Tukiman atau dikenali sebagai Zamsaham menafikan pasukannya memenangi hampir semua perlawanan liga atas sebab ‘nasib’ semata-mata.
Perkara itu dijelaskan dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi yang menjawab persoalan segelintir pihak bahawa pasukannya menjadi pendahulu liga disebabkan ‘luck‘.
“Tidak sesuai jika orang luar kata kita menang sebab luck dan jadi pendahulu liga juga luck semata-mata.
“Dah 16 perlawanan TRW (The Red Warriors) masih pendahulu liga, menang 11 perlawanan. Bolos paling sedikit berbanding team yang keluarkan belanja lebih besar dari kita.
“Tak logik rasanya menang sebab luck. (Tapi) sebab usaha, doa, sokongan peminat, tawakkal dan takdir,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Tambah Norizam, beliau optimis melihat pemainnya yang begitu bersungguh-sungguh dalam menghadapi perlawanan.
“Saya lihat pemain bertungkus lumus untuk menang di setiap match. Saya cakap, sekadar semangat nak menang tidak cukup, latihan dan kerja kuat kena ada.
“Yang mana takda semangat juang, inshaAllah saya sendiri rasakan aura negatifnya dan tidak dimasukkan ke dalam team,” maklumnya.
Tambahan lagi, pengurus TWR itu berkata, matlamat asal mereka tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk memenangi liga sebaliknya memfokuskan untuk layak ke Liga Super.
“Alhamdulillah, kita dah semakin jelas dapat Top 2 di musim ini. Kalau dapat piala ianya Bonus!,” katanya.
Gambar hiasan | BernamaBidas tanggapan tidak ada passion
Walaupun ada segelintir yang menyatakan dirinya tidak mempunyai ‘passion‘ dalam bola sepak, namun Norizam tetap teguh dengan pendirian bahawa beliau tidak seperti tanggapan tersebut.
“Apa tu passion? Orang panggil semangat. Kalau takda semangat, baik awal-awal saya lupakan sahaja hasrat beli Kelantan FC dua tahun lepas. Sebab bersemangat saya beranikan diri.
“Janganlah cakap saya takda passion, sedangkan 12 jam dari Johor ke Kelantan semata-mata nak tengok match hampir kesemua perlawanan,” katanya lagi.
Dalam kenyataan itu, Norizam turut berkongsi detik ‘mengerikan’ seperti pernah dikelilingi 170 individu yang menagih hutang, selesaikan masalah digam (ban) FIFA, berhabis jutaan ringgit dan banyak lagi.
Sementara itu, mengenai prestasi pemain import Kelantan, Nixon dan Kenta, Norizam menjelaskan bahawa sebelum menerima aduan, beliau sendiri terlebih dahulu memberikan amaran prestasi kepada mereka sehingga memberikan surat dua kali.
Tambahan lagi, bonus Key Perfomance Index (KPI) turut ditolak.
Dalam kenyataan tersebut, Norizam turut mengulas isu pertukaran jurulatih, Rezal Zambery Yahya yang dilantik menjadi ketua jurulatih TRW adalah merupakan rakan kongsinya dalam Caravan Zamburger di TRW Hotel.
Lantaran itu, Zamsaham berharap kerjasama antara beliau dan Rezal dapat memberikan impak yang positif terhadap kelab tersebut.
TRW kini menduduki tangga teratas Liga Premier selepas mengharungi 16 perlawanan dan berjaya mengumpul 36 mata, mendahului Johor Darul Takzim II dengan 33 mata.
Kelantan FC kini perlu mengharungi dua perlawanan dalam perebutan juara liga sekaligus mengesahkan layak secara merit ke Liga Super pada musim hadapan.
Sumber: Facebook ZAMSAHAM