Harimau Malaya, Thailand Dalam Satu Kumpulan Piala ASEAN Hyundai 2026
JAKARTA, 15 Jan (Bernama) — Malaysia sekali lagi diundi bersama Thailand bagi saingan peringkat kumpulan Kejohanan Piala ASEAN Hyundai 2026, yang dijadual berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos ini.
Malaysia ditempatkan dalam Kumpulan B bersama tujuh kali juara, Thailand — satu undian yang memberi peluang kepada pasukan negara untuk menebus kekalahan 0-1 kepada gajah perang itu di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok pada edisi 2024.
Susunan Kumpulan B diumumkan semasa majlis undian rasmi bagi edisi ke-16 kejohanan itu yang diadakan di sini hari ini.
Malaysia, yang pernah menjuarai kejohanan ini sekali pada 2010, juga akan berdepan Filipina yang lima kali muncul di separuh akhir, Myanmar (dua kali separuh akhir) dan Laos.
Dalam edisi lalu, Harimau Malaya, yang kini berada pada kedudukan ke-121 dalam ranking FIFA, tersingkir lebih awal selepas menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan A.
Sementara itu, juara bertahan, Vietnam, ditempatkan dalam Kumpulan A bersama empat kali juara Singapura, enam kali naib juara Indonesia, Kemboja, dan pemenang perlawanan playoff antara Brunei dan Timor-Leste.
Brunei akan menjadi tuan rumah perlawanan pertama playoff, manakala aksi timbal balik dijadualkan pada Jun.
Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan mara ke peringkat kalah-mati, yang melibatkan separuh akhir dan final secara dua perlawanan.

UNDIAN PIALA ASEAN HYUNDAI 2026:
Kumpulan A: Vietnam, Singapura, Indonesia, Kemboja,Brunei/Timor-Leste
Kumpulan B: Thailand, Malaysia, Filipina, Myanmar, Laos
Sumber: Bernama