Hari Bertemu Pelanggan “HBP2024: Di Ambang Setahun JDN” Disambut Meriah
PUTRAJAYA – Jabatan Digital Negara (JDN) telah menjayakan Hari Bertemu Pelanggan atau HBP2024: Di Ambang Setahun JDN buat pertama kalinya pada 3 Disember 2024 (Selasa) di Putra Hall B, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Penganjuran HBP2024: Di Ambang Setahun JDN adalah bersempena ulang tahun pertama penubuhan JDN 12 Disember ini. Acara ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara, YBrs. Ts. Dr. Fazidah Abu Bakar yang turut menerima kunjungan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Digital, YBhg. Tuan Fabian Bigar. Beliau sempat mengadakan lawatan ke 30 reruai industri, rakan strategik dan bahagian-bahagian di JDN.
Acara ini berjaya menghimpunkan warga kerja JDN serta kumpulan teknologis dari pelbagai Kementerian/Jabatan bagi meraikan pelanggan JDN yang diperkasakan selain menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan baharu untuk kemudahan pengguna sektor awam. Seramai lebih 1,000 orang telah hadir memeriahkan Hari Bertemu Pelanggan atau HBP2024: Di Ambang Setahun JDN. Ini dilihat sebagai salah satu pendekatan JDN dalam penjenamaan semula MAMPU kepada JDN kepada agensi kerajaan dan orang awam.
Pelbagai aktiviti turut diadakan seperti cabaran interaktif, kuiz uji minda dan explorace sekitar PICC. Aktiviti explorace telah disertai oleh 10 kumpulan daripada pelbagai agensi Kerajaan di sekitar Putrajaya. Selain itu, turut diadakan taklimat DIGITALk dan Seminar Pengurusan Projek ICT Sektor Awam (PPrISA) bagi memberi pendedahan yang lebih komprehensif kepada pelanggan tentang produk dan perkhidmatan JDN.

Ia membuktikan JDN sentiasa peka dengan dasar penjimatan Kerajaan manakala pemilihan “Hari Bertemu Pelanggan” adalah salah satu pendekatan JDN dalam memantapkan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggannya selaras Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 1 Tahun 2008: Panduan Pengurusan Perhubungan Pelanggan walau pun belum genap setahun usia.
HBP2024: Di Ambang Setahun JDN adalah rangkuman 5 sub acara iaitu Perutusan Akhir Tahun 2024 oleh Ketua Pengarah JDN merangkap Ketua Perkhidmatan Skim Pegawai Teknologi Maklumat, Penyerahan Surat Pelantikan JDN Sebagai Ketua Sektor Kerajaan National Critical Information Infrastructure (NCII), Peluncuran eKad Laporan 2024 dan Pelan Strategik JDN, dan Seminar Pengurusan Projek ICT Sektor Awam atau PPrISA 2.0.

Acara ini membuktikan empati dan komitmen JDN dalam memacu transformasi pendigitalan sektor awam selaras visi “Kerajaan Digital Mampan Pemangkin Negara Digital” menerusi pembangunan ekosistem digital yang inovatif, inklusif, dan mesra rakyat.