Gambar: NBC News

Hari Bahagia Bertukar Tragedi, 13 Tetamu Majlis Perkahwinan Maut Selepas Terjatuh Ke Dalam Perigi

Aireena Marizan

Detik bahagia bertukar tragedi apabila sekurang-kurangnya 13 orang, termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun, maut selepas terjatuh ke dalam perigi di satu majlis perkahwinan di utara India, kata pihak berkuasa dari negeri Uttar Pradesh pada hari Rabu.

Menurut polis daerah Kushinagar, mangsa yang kesemuanya terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak itu sedang duduk di atas kepingan besi yang menutupi perigi tersebut.

Besi tersebut kemudiannya patah lalu menyebabkan mereka terjatuh ke dalam perigi itu.

Seorang lagi cedera dalam kejadian itu, kata polis.

Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti.

Difahamkan, para tetamu sedang menghadiri upacara ‘haldi’, iaitu tradisi Hindu di mana kunyit disapu pada muka pengantin untuk mendapatkan tuah.

Perdana Menteri India, Narendra Modi menyatakan insiden itu adalah tragedi yang “menyayat hati” dalam satu catatan di Twitter pada Khamis.

Menurut News-18, Modi telah mengumumkan wang pampasan sebanyak $2,662 (RM11147.13) kepada setiap keluarga mangsa dan $665 (RM2,784) kepada yang cedera.

Pihak berkuasa daerah Kushnigar mengumumkan tambahan $5,323 (RM22290.06) kepada setiap keluarga mangsa, kata News-18.

Sumber: CNN