Harga Tiket Mahal, Indonesia Hantar Sukarelawan Ke Sumatera Lalu Malaysia
Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin baru-baru ini mendedahkan kisah di sebalik penghantaran sukarelawan kesihatan ke kawasan yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di Sumatera, lapor Tempo.
Beliau menjelaskan bahawa ratusan sukarelawan Kementerian Kesihatan tiba di kawasan bencana melalui Malaysia.
Difahamkan, para sukarelawan pada awalnya berlepas dari Jakarta ke Malaysia sebelum meneruskan perjalanan dengan penerbangan ke Medan.
Menurut Budi, laluan ini dipilih kerana permintaan tiket penerbangan dari Jakarta ke kawasan bencana sangat tinggi, sekali gus menyebabkan harga tiket melonjak.
“Pada masa itu, kos melalui Malaysia lebih murah berbanding penerbangan terus dari Jakarta ke Medan
“Akhirnya, kami mengubah laluan pelepasan sukarelawan ke Kuala Lumpur terlebih dahulu, kemudian dari Kuala Lumpur ke Medan atau Aceh kerana pilihan penerbangan lebih banyak dan harganya lebih murah,” katanya.
Situasi itu turut menjadi tular
Susulan kejadian itu, Budi berkata orang ramai pada awalnya menyangka kumpulan sukarelawan berbaju biru yang dihantar oleh Kementerian Kesihatan adalah dari Malaysia.
“Ia menjadi tular kerana orang menyangka mereka yang berbaju biru datang dari Malaysia
“Tidak, mereka adalah sukarelawan Kementerian Kesihatan Indonesia yang dihantar melalui Malaysia. Kenapa? Kerana penerbangan Jakarta–Medan penuh dan harga tiket menjadi mahal,” jelasnya seperti yang dilaporkan dalam Tempo.
Secara keseluruhan, Kementerian Kesihatan telah mengerahkan kira-kira 4,000 sukarelawan kesihatan bagi memberikan perkhidmatan perubatan di lebih 1,000 pusat pemindahan.
Para sukarelawan ini digilirkan setiap dua minggu, dengan sekitar 200 petugas perubatan dan kesihatan bersiap siaga setiap hari di pelbagai lokasi terjejas.
Budi turut menekankan keutamaan menghantar sukarelawan ke kawasan terpencil yang terputus akibat banjir dan tanah runtuh.
“Jadi sukarelawan ini perlu lasak. Kenapa? Kerana kami tidak menghantar mereka ke bandar, sebaliknya ke kawasan terpencil, jadi mereka perlu mempunyai semangat kental dan jiwa pengembara,” ujarnya lagi.
Sumber: Tempo