Kementerian Kewangan Malaysia menerusi siaran media yang dikeluarkan hari ini mengumumkan harga runcit produk petroleum bagi tempoh 28 Mac 2020 sehingga 3 April 2020.
Berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol RON97 turun sebanyak 6 sen seliter iaitu daripada RM1.74 seliter kepada RM1.68 seliter.
Manakala, harga runcit petrol RON95 turun sebanyak 6 sen seliter iaitu daripada RM1.44 seliter kepada RM1.38 seliter.
Harga runcit diesel pula turun sebanyak 7 sen seliter iaitu daripada RM1.75 seliter kepada RM1.68 seliter.
Menurut siaran media itu, penurunan harga runcit produk petroleum ini adalah disebabkan trend harga minyak mentah dunia yang terus menurun ekoran ketidaktentuan ekonomi global akibat pandemik COVID-19.
Di samping itu, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Sumber: BERNAMA