Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan bahawa harga runcit petrol RON97 kekal pada paras RM3.81 seliter.
Menurut kementerian itu, penetapan harga runcit produk petroleum itu berkuatkuasa bagi tempoh 14 April 2022 hingga 20 April 2022.
Sementara itu, harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter dan diesel juga kekal pada paras RM2.15 seliter.
“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Tambah kenyataan itu lagi, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Sumber: MOFMalaysia