Gambar: Siakap Keli

Harga Naik, Sebotol Penyembur Disinfektan Dijual Cecah RM100 Di Atas Talian

Amira

Dalam situasi gawat, kadangkala ada segelintir pihak oportunis yang suka mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain dengan menangguk di air keruh.

Gara-gara penularan gelombang kedua COVID-19 di Malaysia yang berlaku secara pantas, orang ramai mula membeli produk sanitasi seperti penyembur disinfektan, cecair pembasmi kuman dan topeng muka.

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan, pembelian di platform e-dagang menjadi alternatif buat orang ramai.

Namun, berdasarkan tinjauan SK, kami mendapati beberapa peniaga di platform e-dagang mengambil kesempatan menaikkan harga barang melebihi harga asal.

Antara barang yang dinaikkan harga adalah penyembur disinfektan. Biasanya dijual sekitar RM20 bagi 225 mililiter, kini ada sebahagian penjual yang menjual produk itu pada harga hingga RM50.

Malah, harga bagi penyembur disinfektan berisipadu 450 ml pula dinaikkan hingga mencecah RM100 oleh beberapa peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Ada antara produk tersebut baru dimuatnaik beberapa jam lalu, selari dengan tarikh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dipercayai untuk mengaut keuntungan.

Sementara itu, tinjauan kami di satu laman e-dagang farmasi tempatan mendapati kebanyakan produk sanitasi habis terjual.

Sumber: Platform E-dagang