Harga bitcoin dilaporkan jatuh di bawah USD 35,000 (RM147,262) selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan operasi ketenteraan di wilayah Donbas di Ukraine, hari ini.
Memetik laporan CNN, bitcoin didagangkan pada USD 34,969 (RM147,132) setakat 1.22 pagi waktu tempatan.
Penurunan itu lebih daripada 8 peratus berbanding sehari sebelumnya, kata CoinMarketCap.
Mata wang kripto paling bernilai di dunia itu telah jatuh di bawah USD 40,000 (RM168,300) pada hujung minggu lalu dan kini terus merosot kerana krisis Ukraine-Rusia yang semakin meruncing.
Difahamkan, mata wang itu telah kehilangan hampir separuh nilainya sejak paras tertinggi dicatatkan pada November dengan USD 68,990 (RM290,275), yang disebabkan oleh ketegangan politik, prospek kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS dan sekatan oleh beberapa ekonomi utama ke atas aset digital.
Tetapi bukan bitcoin sahaja yang terkesan, mata wang kripto lain seperti Ethereum jatuh lebih daripada 12 peratus dan Dogecoin merudum lebih 14 peratus.
Sementara itu, penganalisis pasaran kanan Amerika di Oanda, Edward Moya berkata ramai pelabur kripto yang terkesan disebabkan oleh krisis yang berlaku di Ukraine.
“Mereka teragak-agak untuk menambah pegangan memandangkan ketidaktentuan yang besar untuk aset berisiko,” katanya.
Sumber: CNN