Kenaikan harga barang pada masa kini sangatlah membimbangkan ramai pihak termasuklah para peniaga itu sendiri. Lihat sahajalah berapa banyak barangan keperluan yang sudah bertukar harga kepada yang lebih mahal. Para peniaga juga tidak mempunyai sebarang pilihan sehingga terpaksa menjual barang dagangannya demi mencari sesuap nasi. Terbaharu, harga alat ganti motosikal juga dikatakan sudah naik sebanyak tiga kali pada kadar sekitar lima hingga 10 peratus sepanjang tahun ini.
Beberapa peniaga alat ganti motosikal serta pemilik bengkel memaklumkan situasi kenaikan harga pada kali ini adalah paling ketara sejak Januari lalu. Sekatan pergerakan yang dibuat oleh pihak berkuasa berikutan perintah kawalan berkurung sebelum ini telah menyebabkan pemilik bengkel dan kedai alat ganti berhadapan dengan kekurangan bekalan sehingga terpaksa menaikkan beberapa harga barangan alat ganti motosikal.
Seorang peniaga alat ganti motosikal di Kota Kemuning, Nor Sherryl memberitahu bahawa penjualan alat ganti motosikal berdepan masalah kenaikan harga menjelang hujung tahun ini atau Januari hadapan. Tambahnya lagi, kenaikan harga yang dijangka berlaku lagi beriringan dengan perniagaan yang mula merosot sejak Julai lalu ekoran laporan peningkatan harga barang.
Pemilik bengkel di Jalan Kebun, Ismail Mat pula memaklumkan bahawa dirinya telah menerima notis daripada pembekal yang memaklumkan kenaikan harga barangan seperti tayar, rantai dan alat ganti lain tidak lama lagi.
Infografik:
Tinjauan harga alat ganti motosikal di sekitar Shah Alam
Tayar motosikal saiz 80 / 90:
Harga kedai alat ganti: RM53 – RM58 (harga baharu) / RM49 – RM54 (harga lama)
Harga bengkel: RM75 – RM125 / RM65 – RM70
Tayar motosikal saiz 70 / 90:
Kedai alat ganti: RM43 – RM48 / RM40 – RM45
Bengkel: RM65 – RM115 / RM55 – RM80
Minyak hitam mineral 1 liter
Kedai alat ganti: RM10 – RM20 / RM7.00 – RM15
Bengkel: RM15 hingga RM18 / RM15 – RM18
Minyak hitam sintetik penuh / separa 1 liter
Kedai alat ganti: RM30 – RM35 / RM23 – RM33
Bengkel: RM38 – RM42 / RM29 – RM38
Rantai motosikal biasa
Kedai alat ganti: RM15 – RM20 / RM12 – RM17
Bengkel: RM48 – RM78 / RM45 – RM75
Pelapik brek
Kedai alat ganti: RM4 – RM8 / RM3 – RM7
Bengkel: RM14 – RM25 / RM8 – RM20
Sumber: Utusan Malaysia