Hanya Terlantar & Tak Mampu Urus Diri Sendiri, Adik Rayu Sumbangan RM 5k Beli Keperluan & Katil Khas Untuk Abang

Sofea

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang dapat digambarkan melalui perkongsian terbaru aktivis kemanusiaan, Natipah Abu, mengenai seorang adik yang khuatir terhadap keadaan abangnya yang sedang sakit terlantar.

Lebih memilukan, si adik juga sebelum ini terpaksa menghantarnya abangnya ke pusat jagaan berbayar bukan Islam kerana sudah tidak mempunyai pilihan lain.

Tidak cuma itu, berlakunya beberapa unsur pengabaian ketika abangnya berada di pusat jagaan tersebut.

Kini berada di pusat jagaan yang baharu, si adik menginginkan yang terbaik buat abangnya kerana tidak mahu melihat abangnya menderita. Pun begitu, dalam keadaan yang sukar ketika ini, dia juga mempunyai masalah kewangan.

Disebabkan itu, dia memohon bantuan dari orang ramai agar dapat membeli sebuah katil untuk keselesaan abangnya.

Macam biasa, mari kita ikuti perkongsian Natipah Abu di bawah ini.

SEDEKAH JUMAAT MUHAMMAD BIN ABDUL ( 30 THN ) KEPERLUAN KHAS SASARAN RM 5K SUMBANGAN MAYBANK NATIPAH ABU 552107617521

Kisah Encik Muhammad atau kenali dgn nama Abang pernah dikongsi sebelum ini.

Kita pernah membantu Abang yang sebelum ini ditempatkan di sebuah pusat jagaan berbayar bukan Islam oleh salah seorang saudara kandungnya yang kita sebut sbg Adik, lantaran tidak punya pilihan lagi.

Abang ada 6 adik beradik yang lain namun atas alasan peribadi, masing-masing tidak dapat menjaga Abang.

Ringkasan kisah

Sebelum ini .. Abang dijaga oleh abang sulungnya. Bagaimanapun … ketika melawat Abang .. Adik sangat terkejut melihat perubahan ketara keadaan Abang bila berada di bawah jagaan abang sulung.

Abang dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan doktor mengesahkan adanya unsur pengabaian dalam penjagaan Abang.

Sebaik keadaan Abang stabil, maka Abang perlu keluar dari wad. Bagaimanapun, kesemua waris tidak dapat menjaga Abang termasuk Adik sendiri yang pendapatannya tidak seberapa. Dia dan isteri perlu keluar bekerja demi menyara keluarga kecil mereka yang cuma tinggal di rumah flat saja.

Adik cuba menghubungi JKM, namun PKP .. pengambilan untuk kemasukan serta- merta ke institusi, dibekukan.

Tidak punya pilihan lain, Adik terpaksa meminjam dari kawan-kawannya untuk menghantar Abang ke sebuah pusat jagaan terdekat.

Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana arwah orang tua mereka ada meninggalkan tanah kebun yang ada hasil sawit dan diuruskan oleh abang sulung.

Namun sebaik menghantar Abang ke pusat jagaan tersebut, Adik teramat dukacita kerana pemilik dan semua penghuni pusat itu berbangsa asing namun kerana terlanjur telah membuat pembayaran, Adik terpaksa juga meninggalkan Abang di sana dan pulang dalam kesedihan.

Adik menghubungi kita dan bercerita tentang masalahnya. Kita mencarikan Abang sebuah pusat jagaan milik orang Islam.

Demi membantu Abang, kita sanggup membayar deposit utk memindahkan Abang ke pusat jagaan baru.

Namun Adik berpendirian untuk biarlah Abang tinggal di sana dulu sehingga tempoh pembayaran yuran yang telah dibuat itu, tamat.

Tidak sedap hati .. kita cadangkan Adik meminta gambar terkini Abang dari pihak pengurusan pusat jagaan tersebut.

Sebaik menatap gambar tersebut .. ternyata keadaan Abang semakin merosot. Kita membuat keputusan memindahkan Abang serta merta ke pusat jagaan baru.

Ketika mengangkat tubuh Abang , Adik tidak dapat menahan pilu bila melihat ulat-ulat dari bedsore Abang jatuh berserakan di lantai.

Dari pengamatan .. Abang mungkin tidak pernah dimandikan pun selama berada di sana. Cadar yang jarang ditukar menyebabkan kulit Abang gatal dan bernanah.

Alhamdulillah .. kini hampir tiga minggu Abang berada di pusat jagaan baru. Pihak pengurusan memaklumkan Abang perlukan sebuah katil khas yang baru kerana katil yang dipinjamkan kepada Abang di pusat itu, telah rosak.

Maka itu … Sedekah Jumaat kita mensasarkan RM5K atas tujuan tersebut dan bakinya akan diserahkan kepada pusat jagaan untuk tujuan pembelian susu dan lampin Abang.

Di pihak Adik, dia sedang berusaha menuntut wang hasil kebun sawit tinggalan arwah kedua orang tua mereka dari pihak pengurusan felda untuk tujuan membiayai kos bulanan penjagaan Abang.

Jumaat yang barakah .. semoga Allah permudahkan urusan kita semua dan berkatilah kita dunia dan akhirat … Amin.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Sumber: Natipah Abu