
Tak dapat dinafikan, kewujudan pokok-pokok hiasan di dalam rumah membuatkan kediaman kita lebih hidup dan tampak segar. Bagi penggemar pokok, tak sedikit antara mereka yang sanggup berbelanja lebih demi hobi yang satu itu.
Malah, ada juga yang sanggup mengeluarkan wang ribuan ringgit demi pokok kecil yang mungkin tampak biasa pada pandangan orang lain.
Di sebuah tapak semaian di Belgium, sepohon pokok monstera adansonii yang mengalami mutasi telah terjual pada harga $2,200 (bersamaan kira-kira RM9,029) dalam tempoh 30 minit sahaja.
Mutasi itu telah membuatkan ia mengeluarkan daun berwarna kuning atau putih, berbanding warna sebenarnya yang berona hijau.
Malah, jenis biasa pokok setinggi 15 cm itu juga pada asalnya boleh didapati pada harga hanya $12 atau RM49.25 sahaja.
Selain berharga lebih mahal, spesies termutasi itu juga dikatakan mustahil untuk ditanam selain sensitif dengan cahaya matahari.
Kongsi pengurus pemasaran pusat kebun itu, pohon tersebut telah dibeli oleh seorang pengumpul yang telah lama mencari spesimen unik spesies berkenaan.

