
Dari pagi hinggalah ke tengah hari, hanya satu beg darah sahaja yang terkumpul. Siapa yang berkelapangan, mohon hadir derma darah di 1 Utama.
Hanya satu beg darah sahaja berjaya diperolehi setakat jam 1.oo tengah hari. Itulah realiti yang perlu dihadapi oleh Pusat Darah Negara (PDN) dalam usaha mengumpul stok darah demi nyawa rakyat Malaysia.
Menurut satu kenyataan di laman Facebook hari ini, PDN kini sedang menjalankan kempen derma darah yang berlangsung di Pusat Beli-Belah 1 Utama di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Bagaimanapun, kempen tersebut dipercayai tidak mendapat sambutan yang menggalakkan daripada individu awam yang berada di sekitar situ. Hal ini terbukti dengan jumlah darah yang terkumpul.
Menurut kenyataan itu, kempen derma darah tersebut pada asalnya bermula dari semalam dan mereka hanya mampu mengumpulkan sebanyak lapan beg darah sahaja setatakt itu.
Namun perkara itu dilihat semakin parah apabila setakat 1 tengah hari tadi, jumlah bekalan darah yang didermakan oleh penderma awam hanyalah sebanyak satu beg sahaja.
“Semalam hanya lapan beg darah diperolehi di 1 Utama Shopping Centre.
“Hari ini, sehingga jam 1.00 tengah hari hanya satu beg darah diperolehi,” maklum PDN dalam kenyataan di Facebook tersebut.
Sehubungan itu, pihak PDN berharap agar orang ramai yang berkelapangan datang ke Basement 2, Highstreet @ 1 Utama Shopping Centre yang dibuka setiap hari bermula jam 11.00 pagi hingga 7.00 malam bagi menderma darah.
“Hadirkan diri. Laksanakan tanggungjawab sosial anda. Derma darah untuk #KeluargaMalaysia,” maklum PDN lagi.

Sumber: Facebook Pusat Darah Negara Kementerian Kesihatan Malaysia.