lelaki ugut bunuh ibu
Gambar: Bernama via Google

Hanya Kerana Dilarang Guna Motosikal, Lelaki Ugut Bunuh Ibu

Iqbal Yasir

Hanya kerana dilarang menggunakan motosikal, seorang lelaki naik darah hingga sanggup mengugut untuk membunuh ibu dan tiga adiknya di sebuah rumah di Bandar Perdana, Sungai Petani, lapor Kosmo!

Memetik laporan Kosmo!, suspek yang berumur 20 tahun itu juga memegang sebilah pisau sehingga menakutkan wanita berusia 40 tahun tersebut dalam satu kejadian yang berlaku pada jam 2 petang tadi.

Difahamkan, suspek berang kerana tidak dibenarkan menggunakan motosikal jenis Honda C70 oleh ibunya, lapor Kosmo!.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, suspek yang juga pekerja kilang sebelum itu keluar menggunakan motosikal milik ibunya selama tiga hari tanpa kebenaran.

“Suspek pulang ke rumah pada tengah hari tadi dan mengamuk selepas dimarahi ibunya serta tidak lagi dibenarkan menggunakan motosikal itu.

“Lelaki itu kemudian mengugut untuk membunuh ibu dan tiga adiknya sambil memegang sebilah pisau sebelum ibunya menghubungi polis,” jelasnya.

Suspek kemudiannya ditahan di rumahnya selepas dua anggota polis yang sedang meronda dikerahkan ke lokasi tersebut selepas menerima laporan, tambah Zaidy.

“Semakan rekod mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang kesalahan jenayah lampau tetapi didapati positif dadah jenis methamphetamin,” maklumnya.

Pihaknya kini dalam proses menyiapkan dokumen permohonan reman ke atas suspek untuk membantu siasatan kes itu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, jelas Zaidy.

Sumber: Kosmo!