“Hanya Fokus Agama, Keluarga & Latihan”, Komentator UFC ‘Tabik Hormat’ Petinju MMA Beragama Islam
Komentator Ultimate Fighting Championship (UFC), Joe Rogan memberi ‘tabik hormat’ kepada petarung-petarung MMA beragama Islam.
Penghormatan itu diberikan beliau ketika dalam siri podcast Joe Rogan Experience yang disiarkan pada Ogos lepas.
Dalam rancangan tersebut, Joe Rogan telah berbincang mengenai pengaruh agama dalam sukan seni mempertahan diri campuran (MMA). Lebih-lebih lagi dalam kalangan atlet-atlet beragama Islam.
Beliau menjadikan Khabib Nurmagomedov sebagai penanda aras yang dianggap sebagai salah seorang atlet terbaik dalam sejarah MMA.
Bersama Mike Baker, Joe Rogan mengemukakan beberapa sebab mengapa petarung asal Dagestan itu sangat luar biasa.
Beliau mengaitkan disiplin dan kehadiran dominan mereka dalam gelanggang dengan komitmen mereka terhadap kepercayaan mereka.
Menurut Joe Rogan, atlet-atlet dari Dagestan ini disifatkan sangat berdedikasi. Malah, mereka juga dapat mengatasi ‘gangguan-gangguan’ daripada luar dengan kepercayaan mereka.
Jelasnya, atlet-atlet MMA yang beragama Islam biasanya dapat mengelak gangguan yang sukar ditundukkan atlet-atlet lain iaitu menahan diri daripada berparti secara berlebihan.
Pada masa yang sama, fokus mereka hanya tertumpu kepada kepercayaan terhadap agama yang kukuh, ikatan kekeluargaan yang rapat serta rejim latihan yang dahsyat.
“Perkara yang mereka pentingkan ialah keluarga, agama, latihan. Mereka tidak berfoya-foya dan tidak mengambil minuman beralkohol… dan mereka adalah yang paling dominan,” kata Rogan.
Pegangan terhadap agama mempengaruhi prestasi dalam sukan MMA
Selain itu, Rogan turut memberikan pandangan terhadap nilai agama dalam kehidupan bagi kebanyakan manusia.
Beliau mengakui terdapat banyak faedah yang tidak dapat dinafikan seperti struktur dan tujuan hidup, penekanan terhadap sifat perpaduan yang dapat dipupuk melalui ketaatan terhadap agama.
Rogan juga bersetuju bahawa faktor kemiskinan juga mungkin menjadi pendorong untuk atlet-atlet ini inginkan kejayaan.
Namun begitu, Rogan berkata walaupun sudah menjadi kaya-raya, atlet seperti Khabib Nurmagomedov masih berpegang teguh pada kepercayaan dan nilai agamanya.
“Khabib seorang yang sangat kaya-raya. Tetapi beliau masih memilih untuk memandu trak Toyota.
“Maksud saya, dia masih memilih untuk tinggal di rumah yang sama. Beliau kekal berpegang teguh dengan kepercayaannya dan begitu komited melatih atlet-atlet lain.”
BACA: Tak Sangka, Rupanya Ini ‘Fungsi Rahsia’ Lubang Wayar Pada Meja Pejabat Ramai Tak Tahu
Sumber: First Spotz