
Hanya 4 Peratus Responden Wanita Korea Lihat Perkahwinan, Lahirkan Anak Adalah Perkara Penting – Tinjauan
Hanya empat peratus wanita di Korea yang belum berkahwin berusia lingkungan 20-an dan 30-an melihat perkahwinan dan melahirkan anak itu sebagai perkara yang penting, lapor The Korean Times.
Tinjauan oleh Park Jeong Min, seorang profesor kebajikan sosial di Universiti Kebangsaan Seoul itu memberi gambaran suram mengenai kadar kesuburan negara yang semakin menurun.
Hasil pemantauan itu telah diterbitkan dalam Korean Journal of Social Welfare Studies pada Ahad.
Park membuat tinjauan ke atas 281 lelaki dan wanita yang belum berkahwin, berumur antara 20 dan 40 tahun mengenai perkahwinan dan melahirkan anak.
Hasil tinjauan mendapati hanya empat peratus daripada responden wanita bersetuju dengan soalan berkaitan.
Dalam pada itu, kira-kira 13 peratus responden lelaki turut mempunyai pendapat yang sama dan bersetuju, perkahwinan dan melahirkan anak adalah bahagian penting dalam kehidupan wanita.
Sementara itu, lebih 53 peratus wanita pula dilaporkan tidak bersetuju bahawa anak dan perkahwinan adalah segala-galanya.
Hasil tinjauan itu mendedahkan lebih banyak mengenai penurunan kadar kelahiran di Korea.
BACA: Masih Belum Timang Cahaya Mata? Ini 9 Tanda Tidak Subur Pada Lelaki & Wanita
Menurut data Statistics Korea terkini, jumlah kadar kesuburan negara, atau purata bilangan kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita jatuh kepada 0.78 pada tahun lepas.
Ia merupakan angka terendah sejak negara itu mula mengumpul data berkenaan pada 1970-an.
Purata jumlah kadar kesuburan negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) ialah 1.59 pada 2020.
Korea adalah satu-satunya negara OECD yang memiliki kadar kesuburan lebih rendah daripada angka satu.
Kadar itu tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan walaupun kerajaan telah meletakkan usaha selama bertahun-tahun untuk menggalakkan pasangan mempunyai lebih ramai anak.
Difahamkan, dalam tempoh 16 tahun yang lalu, Korea telah membelanjakan kira-kira RM949 trilion sebagai tindak balas kepada kadar kesuburan yang menjunam.
Pakar dasar penduduk Institut Pembangunan Korea, Choi Seul-ki melihat dasar kerajaan sebagai dasar yang negatif.
Beliau berkata mendorong orang muda untuk berkahwin kemungkinan menyebabkan mereka lebih ragu-ragu tentang perkahwinan.
“Bagi majoriti anak muda Korea, mengikat tali pertunangan dan mempunyai anak kini dianggap sebagai pilihan, bukan norma sosial yang harus diikuti.
“Daripada terus mendesak mereka untuk berkahwin, kerajaan harus mewujudkan persekitaran di mana perkahwinan adalah perkara yang menarik,” katanya.
Sumber: The Korean Times