hantuk kepala isteri
Kredit: BERNAMA

Hantuk Kepala Ke Kening Isteri, Suami Dijel Tiga Bulan

Nurhanis

Hantuk Kepala Ke Kening Isteri, Suami Dijel Tiga Bulan

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) — Gara-gara menghantukkan kepala ke kening isteri sehingga cedera dan menerima tujuh jahitan, seorang penganggur dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki, 33, selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Noriza Mohd Nordin, 35, yang juga pembantu pegawai perubatan, dengan menghantukkan kepalanya di kening kanan (mangsa).

Perbuatan itu dilakukan di sebuah unit Pangsapuri Sri Tioman 2 di Jalan Pertahanan, Setapak, pada jam 4 pagi, Sabtu lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 13 Mei lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, B. Sareeka, memohon hukuman penjara setimpal dengan mengambil kira kecederaan dihadapi mangsa sehingga perlu menerima tujuh jahitan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman berbentuk denda dikenakan terhadapnya dengan alasan dia telah menyesal dengan perbuatannya.

“Saya minta maaf kerana telah mencederakan isteri saya. Saya menyesal dengan perbuatan saya dan mohon hukuman denda kerana saya mempunyai anak selain ingin memperbaiki kehidupan saya,” katanya.

Sumber: BERNAMA

BACA: Indah & Tenang, Wanita Kongsi “Trip” Ke Sulawesi Yang Ramai Tak Tahu