Hari demi hari dilalui dengan serba kekurangan. Siapa sangka segala aset serta harta benda yang dikumpul sekian lamanya hilang begitu sahaja. Sehingga kini, ada lagi segilintir mangsa-mangsa banjir di sekitar Selangor masih dalam proses pembersihan.
Keadaan ini membuatkan ada diantara mereka tidak dapat keluar bekerja dan ‘kosong’ daripada sebarang pendapatan selama hampir dua minggu. Mana kan tidak, barang-barang perniagaan habis hanyut dan saban hari menguruskan keadaan rumah yang kotor ditenggelami air.
Bagi penduduk di sekitar Jalan Nanding, Hulu Langat, agihan bantuan kewangan yang bakal disalurkan oleh kerajaan persekutuan sememangnya dinanti-nantikan.
Buat ibu tunggal, Subiah Mat Jan, 63, agihan RM1,000 yang bakal diterima itu dapat digunakan untuk membantu menampung keperluan anaknya memandangkan rumah setingkat yang didiami habis ditenggelami air.

Seperti mangsa banjir lain, ibu tunggal itu memberitahu kenderaan dimiliki anaknya rosak dan menelan belanja besar untuk memperbaiki memandangkan ia diperlukan untuk mereka keluar mencari rezeki. Tak cukup dengan kenderaan, segala perabot kelengkapan rumah serta pakaian terpaksa dibuang kerana disaluti lumpur tebal.
Sementara itu, Mohd Hijjas Khalid, 38, mengharapkan agihan bantuan itu dipercepatkan memandangkan dia sendiri perlu mengeluarkan wang simpanan bagi memperbaiki keadaan rumah seperti pintu dan tingkap yang lekang kerana ditenggelami air.

Kereta dan motorsikal dimiliki juga rosak dan semua itu menelan belanja tinggi lagi pula isterinya masih dalam pantang dengan anak kedua baru berusia sebulan.
Berat dugaan yang dialami penduduk yang berdepan dengan bencana banjir ini. Kedatangan 2022 mereka diuji, tidak seperti masyarakat lain yang masih boleh tersenyum meraikan tahun baharu.
Seperti Rodziah Bedulah, 44, sehingga kini masih termenung apabila celik mata melihat situasi rumah yang teruk disaluti lumpur selain barang dan kelengkapan rumah tunggang terbalik.

Setiap hari, hanya mampu berdoa diberikan kesihatan yang baik, sambil menahan air mata, katanya banyak lagi yang perlu dikemas. Baginya, BWI yang bakal diterima dapat digunakan untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak dan bakinya dapat digunakan untuk membeli makanan untuk mereka.
Sebelum ini, sebanyak RM500 diperuntukkan bagi BWI mangsa banjir, namun telah dinaikkan jumlahnya kepada RM1,000 akan diberikan dan disegerakan kepada para penerima sejak 27 Disember lalu.
Sekatat hari ini, seramai 36,087 bersamaan 76 peratus Ketua Isi Rumah (KIR) telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dana yang diperuntukkan kerajaan Persekutuan untuk disalurkan kepada mangsa banjir perlu dipermudahkan dan disegerakan.