klk lpt1 krismas
Gambar: Bernama

Hampir 1 Juta Kenderaan Dijangka Guna Lebuhraya KLK & LPT1 Sempena Cuti Krismas 

Iqbal Yasir

Hampir 1 Juta Kenderaan Dijangka Guna Lebuhraya KLK & LPT1 Sempena Cuti Krismas

KUALA LUMPUR, 20 DISEMBER 2023 — Hampir 1 Juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) bagi tempoh 23 hingga 26 Disember bersempena musim cuti perayaan Krismas ini.

Pengendali lebuhraya KLK dan LPT1, ANIH Berhad dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah meningkatkan kesediaan bagi menghadapi jangkaan peningkatan kenderaan di lebuhraya berkenaan.

Berdasarkan trend lalulintas di lebuhraya KLK dan LPT1, pihaknya menjangkakan jumlah purata trafik harian di KLK adalah sebanyak 172,200 kenderaan iaitu peningkatan lebih 70 peratus dari aliran trafik harian biasa.

Sementara itu, di LPT1 pula, jumlah purata trafik harian dijangkakan sebanyak 68,200 kenderaan iaitu peningkatan lebih daripada 50 peratus daripada aliran trafik harian biasa.

“Pengguna disarankan merujuk kepada Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan demi keselesaan dan kelancaran perjalanan,” maklum kenyataan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif ANIH Berhad, Imran Gulcharan Abdullah berkata, pematuhan kepada TTA ini dapat membantu mengurangkan kesesakan di lebuhraya KLK dan LPT1.

Bagi memastikan keselesaan, pihaknya telah menambah tenaga kerja sokongan di plaza tol dan menempatkan anggota RELA di kawasan strategik sepanjang lebuhraya. Langkah ini bertujuan untuk memastikan kelancaran trafik sepanjang tempoh tersebut.

BACA JUGA: Mahkamah Tolak Pengakuan Bersalah Lelaki Didakwa Hendap Jurugambar Wanita

“Selain itu, ANIH Berhad juga telah mengingatkan para pengguna agar memberikan keutamaan kepada keselamatan diri sendiri serta penggguna lain dengan mengamalkan pemanduan berhemah. Gunakan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau hentian sebelah bila perlu.

“Patuhi tanda-tanda jalan, had laju dan arahan daripada petugas lebuh raya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan semua,” katanya.

Tambah Imran, bagi mendapatkan informasi tepat dan terkini, sila ikuti saluran rasmi media sosial ANIH Berhad di Facebook Lebuhraya Pantai Timur dan X @LPTTrafik serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) @llmtrafik.

“Sekiranya berlaku kecemasan, hubungi LPT-Line di 1-700-818-700 atau talian LLM 1800-88-7752,” maklumnya lagi.

Sumber: Lebuhraya Pantai Timur