hampa tahan sanusi
Kredit:drismailsalleh
Tiada Kategori

“Hampa Tahan Sanusi Jangan Bagi Dia Pi Kuala Lumpur,” Seloroh Anwar

Sofea

“Hampa Tahan Sanusi Jangan Bagi Dia Pi Kuala Lumpur,” Seloroh Anwar

Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dijangka akan dipenuhi orang ramai susulan penganjuran Himpunan Turun Anwar pada Sabtu.

Perhimpunan itu akan dihadiri oleh pemimpin Perikatan Nasional termasuk dari parti PAS. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dijangka turut hadir.

Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berseloroh untuk tidak membenarkan Sanusi pergi ke Kuala Lumpur bagi menghadiri perhimpunan itu.

“Hampa tahan Sanusi jangan bagi dia pi Kuala Lumpur,” selorohnya.

Anwar berkata sedemikian ketika lawatan ke projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong program penanaman padi di kawasan MADA, Kedah hari ini. Acara itu turut dihadiri oleh Sanusi.

Dalam video yang dimuat naik oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Dr Ismail Salleh, dua figura itu dilihat berbual mesra bersama tetamu yang lain.

BACA: Himpunan Turun Anwar: Tiada Notis Sukarkan Gerak Kerja, Namun Polis Akan Permudahkan – Saifuddin

Turut menyertai lawatan itu ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Orang ramai memberikan pelbagai reaksi apabila melihat video terbabit. Ada yang memuji hubungan kedua-dua pemimpin itu.

“Seronok tengok situasi macam ni bergelak ketawa dalam kalangan pemimpin tertinggi, yang asyik bergaduh dekat bawah-bawah ni,” kata seorang netizen.

“Pemimpin elok dok melawak dan berkawan, yang bawah ni jangan melatah sangat. Hal politik jangan bergaduh” kata seorang lagi

Dalam pada itu, Anwar berkata Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di Kawasan Muda di Kedah akan membawa reformasi menyeluruh kepada ekosistem industri padi dan beras negara.

Perkara itu sekali gus akan mengurangkan kebergantungan negara kepada import dan memperkukuh kadar sara diri beras negara.

“Inisiatif ini amat dekat di hati saya. Justeru, pelaksanaan yang pantas dan penyelarasan yang berkesan amat penting bagi meningkatkan keupayaan pesawah tempatan serta memastikan hasil tuaian yang lebih mampan,” kata beliau dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Sumber: Drismailsalleh