
Hairan, Kenapa Burung Terbang Dalam Formasi V?
Baru-baru ini, tular satu filem animasi yang telah diterbitkan pada tahun 2023 iaitu “Migration”. Filem yang mengisahkan keluarga itik itu kembali mencuri tumpuan kerana alih suara bahasa Melayu di Netflix yang santai dan kelakar.
Namun, bukan filem itu yang ingin SK ulas dalam artikel kali ini. Sebaliknya, SK tertarik dengan satu adegan di dalam filem itu yang memperlihatkan keluarga itik tersebut bersiap sedia untuk terbang dan berhijrah ke Jamaica.
Apa yang mencuri tumpuan adalah gerakan formasi ‘V’ yang dilakukan oleh haiwan-haiwan itu ketika terbang di langit.
Jika anda perasan atau suka memerhati alam, kawanan burung kebiasaannya memang akan terbang dalam formasi V dan bergerak dengan sangat harmoni.
Persoalannya, kenapa dan bagaimana burung-burung itu ‘sepakat’ untuk terbang dalam formasi itu? Mari kita siasat.
Untuk pengetahuan, perbahasan mengenai formasi V ini telah lama berlaku dalam kalangan saintis.
Menurut portal Science, terdapat satu kajian yang melibatkan spesies burung ibis telah dilakukan oleh saintis beberapa tahun lalu.
Burung berkemungkinan terbang dalam formasi V kerana ia memudahkan penerbangan atau sekadar mengikuti ketua.
Seperti yang diketahui, formasi V terbukti membantu skuadron pesawat menjimatkan bahan api dan ramai saintis mengesyaki bahawa burung yang berhijrah turut melakukan perkara yang sama.
Bagi membuktikan perkara ini, saintis mengkaji penghijrahan burung ibis yang terancam ke Eropah. Mereka menggunakan sebuah pesawat ringan (microlight) bagi menunjukkan laluan penghijrahan nenek moyang haiwan itu dari Austria ke Itali.
Sekumpulan 14 ekor burung muda dilengkapkan peranti perakam data khas yang dibangunkan oleh James Usherwood dan pasukannya. Sistem GPS dalam peranti itu mampu menentukan kedudukan penerbangan setiap burung dengan ketepatan sehingga 30 sentimeter, manakala alat pecutan (accelerometer) merekodkan masa kepakan sayap.
Hasilnya, seperti yang diramalkan oleh anggaran aerodinamik, burung-burung tersebut memilih kedudukan terbang sedikit ke belakang dan ke sisi burung di hadapan, sambil menyelaraskan kepakan sayap mereka untuk memanfaatkan pusaran udara yang mengangkat.

Apabila seekor burung terbang tepat di belakang burung yang lain, masa kepakan itu diterbalikkan supaya ia dapat meminimumkan kesan aliran menurun yang datang dari belakang badan burung.
“Mungkin burung-burung besar yang terbang dalam formasi V ini boleh dianggap seperti kapal terbang yang sayapnya bergerak naik turun,” kata Usherwood.
Penemuan ini berkemungkinan turut terpakai kepada burung bersayap panjang lain seperti burung undan, bangau dan angsa. Sebaliknya, burung bersaiz kecil menghasilkan pusaran udara yang lebih kompleks, menjadikan teknik ‘menumpang’ arus udara terlalu sukar.
Para saintis tidak mengira secara langsung penjimatan tenaga burung-burung ini kerana ukuran fisiologi yang diperlukan terlalu invasif untuk spesies terancam. Namun, kajian terdahulu menganggarkan burung boleh menjimatkan sekitar 20 hingga 30 peratus tenaga apabila terbang dalam formasi V.

Berbalik kepada bagaimana burung-burung boleh menemui titik aerodinamik yang sesuai itu, para saintis berkata mereka belum pasti mengenai perkara tersebut.
Bagaimanapun, mereka juga mengesyaki bahawa haiwan-haiwan itu menyelaraskan diri sama ada melalui penglihatan atau dengan mengesan arus udara melalui bulu.
Haiwan-haiwan itu mungkin bergerak sehingga ia menemui lokasi dengan rintangan yang paling sedikit.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda semua.
Sumber: Science