Gambar Hiasan Via Google

Hadiri Majlis Perkahwinan, 43 Individu Termasuk Pengantin Dilaporkan Diuji Positif COVID-19

Aqmal Ezany

Pihak berkuasa daerah Kasaragod, India telah bertindak memfailkan satu kes apabila seramai 43 orang disahkan positif COVID-19 selepas menghadiri satu majlis perkahwinan di daerah tersebut, lapor Hindustan Times.

Pihak polis Badiyudukka telah mengesahkan bahawa terdapat satu kes di bawah perintah pencegahan virus itu yang telah dilaporkan terhadap bapa pengantin tersebut.

Memetik laporan tersebut, pengantin lelaki serta pengantin perempuan itu juga turut disahkan positif dijangkiti dengan virus terbabit selepas majlis perkahwinan mereka yang berlangsung pada 17 Julai di Chengala, Kasaragod dilangsungkan.

Pihak berkuasa daerah Kasaragod telah mengarahkan semua tetamu yang menghadiri majlis tersebut untuk menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari serta melaporkan diri ke pusat kesihatan berhampiran tempat tinggal sekiranya bergejala.

Pada Ahad lalu, sejumlah 927 kes COVID-19 dan 2 kematian telah dilaporkan di Kerala. Ianya menjadikan jumlah kes aktif yang dicatatkan di negeri itu meningkat kepada 9,655 kes.

Sumber: Hindustan Times