Gambar Via BBC/Sky News

Hadir Tonton Euro Di Stadium, Hampir 2,000 Penyokong Scotland Dilaporkan Positif COVID-19

Sofea

Hampir 2,000 kes COVID-19 di Scotland telah dikaitkan dengan penyokong bola sepak yang menyaksikan perlawanan Euro 2020 baru-baru ini.

Menurut Sky News, dari 1,991 kes yang didaftarkan oleh Public Health Scotland (PHS), dua pertiga daripada mereka mengatakan bahawa telah pergi ke London untuk menyaksikan perlawanan antara England dan Scotland pada 18 Jun yang lalu.

Sebanyak 397 kes daripadanya adalah penyokong yang berada di Stadium Wembley ketika perlawanan itu berlangsung. Dalam pada itu, Scotland dikatakan hanya memperuntukkan sebanyak 2,600 tiket untuk perlawanan di stadium itu.

Gambar Via Sky News

Bukan itu sahaja, PHS juga melaporkan bahawa terdapat 55 kes berkait dengan zon penyokong di Glasgow, diikuti 38 kes yang melibatkan penyokong semasa perlawanan antara Scotland dan Croatia. Manakala, 37 kes pula melibatkan penyokong yang menonton perlawanan antara Scotland dan Republik Czech.

“Langkah kesihatan awam telah diambil terhadap kontak rapat semua kes-kes tersebut,” kata PHS.

Memetik laporan BBC, puluhan ribu peminat dipercayai telah pergi ke London walaupun amaran telah dikeluarkan agar mereka tidak melakukannya kecuali jika mempunyai tiket.

Pengarah Klinikal Kebangsaan negara itu, Prof Jasib Leitch, mengatakan bahawa dia kecewa kerana hampir 2,000 daripada 32,000 kes yang direkodkan di Scotland sejak 11 Jun telah dikaitkan dengan peristiwa Euro 2020.

Sumber: Sky News, BBC