Hadiah Paling ‘Mahal’
Kredit: @kamanurshu via TikTok
Tiada Kategori

Hadiah Paling ‘Mahal’, Rakan-rakan Buat Kejutan Siap Ada Ucapan Istimewa Untuk Pengantin

Athirah

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Hadiah Paling ‘Mahal’, Rakan-rakan Buat Kejutan Siap Ada Ucapan Istimewa Untuk Pengantin

Setiap pasangan pengantin pastinya mengimpikan hari perkahwinan yang penuh bermakna dan indah untuk dikenang sepanjang hayat.

Dalam suasana meriah dan penuh kasih sayang itu, para tetamu, ahli keluarga serta rakan-rakan turut tidak ketinggalan menzahirkan ucapan tahniah serta memberikan pelbagai bentuk hadiah istimewa.

Hadiah-hadiah yang diterima bukan sekadar bernilai dari segi material, malah sarat dengan makna dan kenangan.

Ada yang menghadiahkan barangan keperluan rumah tangga, wang tunai atau hadiah peribadi yang mempunyai sentuhan sentimental tersendiri.

Pengantin dapat hadiah mesin basuh ‘istimewa’

Baru-baru ini, sebuah video tular di media sosial memaparkan pasangan pengantin menerima hadiah mesin basuh yang cukup ‘unik’ daripada rakan-rakan.

Menerusi video yang dikongsikan oleh @kamanurshu di TikTok, kelihatan rakan-rakan pengantin lelaki pada awalnya bertanya melalui aplikasi WhatsApp mengenai jenis barangan yang diinginkan sebagai hadiah perkahwinan.

Pengantin lelaki kemudian secara bergurau meminta mereka untuk membeli hadiah yang besar seperti mesin basuh atau penyaman udara.

Tidak disangka, gurauan itu menjadi kenyataan apabila rakan-rakan menghadiahkan sebuah mesin basuh jenama Midea khas buat pasangan pengantin tersebut.

Siap tulis ucapan pada mesin basuh yang dibeli

Lebih kreatif lagi, mereka turut menulis ucapan tahniah buat pasangan pengantin pada permukaan mesin basuh itu, sekali gus menjadikan hadiah berkenaan lebih istimewa dan penuh makna.

Bukan hanya itu, mereka juga membawa mesin basuh tersebut menggunakan kereta untuk dibawa ke majlis perkahwinan rakannya itu.

Sebaik sampai ke majlis perkahwinan, kelihatan mereka mengangkat mesin basuh itu beramai-ramai untuk diberikan kepada pengantin lelaki.

Difahamkan, pengantin lelaki merupakan antara individu terakhir dalam kumpulannya yang melangsungkan perkahwinan.

“Semoga Allah sentiasa memberkati sahabat-sahabat seperti ini”

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok memberi pelbagai reaksi apabila menonton video itu.

Dalam masa yang sama, ada juga warga maya yang berkongsi pengalaman serupa apabila menerima barangan berharga daripada rakan-rakan mereka.

“Seronok ada kawan-kawan baik macam ni,” komen seorang wargamaya.

“Kawan saya berasa sebak apabila kami menghadiahkannya peti ais. Dia tahu barangan itu sangat penting selepas berkahwin,” komen seorang lagi wargamaya.

BACA: Takut Keluar Malam, Penduduk Resah Dakwa Kerap Jumpa Pocong Di Tepi Jalan

Sumber: @kamanurshu via TikTok