Had Laju Jalan Persekutuan Diturunkan Kepada 80km/j Bermula Esok
Kerajaan akan terus melaksanakan Ops Bersepadu selama enam hari bermula 28 Januari 2025 hingga 2 Februari 2025 sebagai langkah membantu kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena perayaan Tahun Baru Cina 2025.
Ops Bersepadu ini dilaksanakan secara bersama melibatkan agensi-agensi penguatkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata, bagi meminimumkan risiko kemalangan jalan raya, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mewartakan penurunan had laju daripada 90km/j kepada 80km/j di semua Jalan Persekutuan sepanjang tempoh enam hari tersebut.
“Kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal akan dihentikan sementara agar tidak mengganggu aliran trafik sepanjang tempoh tersebut.
“Kerja-kerja kecemasan yang perlu disegerakan demi keselamatan pengguna akan dirancang sebaiknya.
“Sekiranya perlu, laluan alternatif akan disediakan agar tidak mengganggu perjalanan pengguna ke destinasi yang dituju,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, arahan juga telah dikeluarkan kepada Syarikat Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) untuk menghentikan sementara kerja pelebaran lorong di jajaran Sedenak-Kulai bermula 23 Januari hingga 3 Februari 2025.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan semua pengguna jalan raya untuk mengambil langkah berikut:
1. melakukan kesiapsiagaan sepenuhnya sebelum melakukan perjalanan meliputi memastikan menjaga kesihatan, mengambil masa rehat yang mencukupi sebelum dan semasa perjalanan agar tidak mengalami keletihan melampau dan rasa mengantuk ketika memandu.
2. memastikan kad debit, RFID dan kad Touch N Go mempunyai baki wang yang mencukupi bagi mengelakkan gangguan kesesakan kepada pengguna lain di plaza tol.
3. memeriksa kondisi kenderaan termasuk tayar supaya siap sedia untuk perjalanan jauh.
4. memandu kenderaan secara berhemah, sentiasa sabar dan mengikut undang-undang jalan raya.
Sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang diterajui oleh KKR, semua pengguna jalan raya bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan diri dan penumpang serta keselamatan dan keselesaan pengguna yang lain.


BACA: Polis Kesan Suami Lempang Isteri
BACA: Iran Lancar Dron Terbesar Dinamakan “Gaza”
Sumber: Alexander Nanta Linggi via Facebook