Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menyatakan bahawa penyerangnya, Erling Haaland mempunyai potensi untuk menjadi legenda di kelab itu, lapor The Independent.
Guardiola menyatakan perkara tersebut selepas pemain berusia 22 tahun itu mencetak hatrik sewaktu melakar kemenangan penuh bergaya City sewaktu menewaskan Nottingham Forest 6-0 awal pagi tadi.
Hatrik itu merupakan yang kedua berturut-turut buatnya.
Sebelum ini, Haaland mencetak tiga gol ke gawang Crystal Palace pada perlawanan keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk membantu City bangkit dari ketinggalan 0-2 sekaligus memenangi perlawanan itu dengan keputusan 4-2.
Sehingga kini, pemain warganegara Norway itu mempunyai sembilan gol hanya dalam lima perlawanan yang dimainkan.
Perkara itu menjadikan Haaland mampu menjadi pencabar Andy Cole dan Alan Shearer iaitu 34 gol dalam satu musim EPL.
Walaupun ia masih jauh untuk mengejar rekod penjaring terbanyak City, Sergio Aguero, namun penyerang muda itu mampu menjadi pemain yang hebat.
“Sergio adalah lagenda. Tiada siapa boleh mencurinya di hati peminat City sewaktu menjaringkan gol paling penting dalam sejarah moden.
“Erling mempunyai kualiti untuk berada di puncak itu. Ia bukan soal dia atau Sergio. Apa yang dilakukan Sergio sangat mengagumkan. Tetapi Erling ada bakat itu.
“Sewaktu City membeli Erling, semua orang bercakap mengenai masa lalu yang lakukannya. Apa yang kami lakukan ialah membantunya. Saya berharap dia dapat menjaringkan lebih banyak gol.
“Apa yang dilakukannya sewaktu di Norway, Austria dan Jerman dia cuba untuk lakukan di City. Dia berbakat, kami tahu itu,” jelas Guardiola.
Pengurus The Citizens itu menegaskan bahawa memenangi gelaran bersama kelab itu akan menjadi lebih bermakna buatnya berbanding mendapat pujian peribadi.
Manchester City kini berada di tangga kedua liga di bawah Arsenal dengan pungutan mata sebanyak 13 selepas lima perlawanan serta kekal rekod tanpa kalah.
City dijadualkan bakal menentang Aston Villa di gelanggang lawan dalam perlawanan keenam liga pada 4 September ini.
Terdahulu, Erling Braut Haaland dibeli oleh Manchester City dengan persetujuan sebanyak RM277 juta daripada kelab Jerman, Borussia Dortmund pada jendela perindahan baru-baru ini.
Sumber: The Independent