Susulan banjir di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia baru-baru ini, banyak keluarga yang kehilangan harta benda malah ada yang tinggal sehelai sepinggang.
Prihatin akan nasib mangsa banjir ini, banyak pihak yang tampil meringankan beban mereka yang terjejas baik individu atau badan-badan tertentu. Dapat kita lihat rakyat Malaysia bersatu padu menghulurkan bantuan tanpa mengira agama dan bangsa.
Turut membantu dalam misi bantuan mangsa banjir di Lembah Klang adalah Gurudwara Sahib Petaling Jaya (GSPJ). Sempat beredar di media sosial, momen-momen di mana ahli persatuan ini yang terdiri daripada komuniti Sikh bersama para sukarelawan berbilang kaum sama-sama menyediakan keperluan asas untuk mangsa banjir.
Oleh itu, GSPJ turut menyediakan ruang khas untuk memudahkan para sukarelawan beragama Islam menunaikan solat. Makluman tersebut turut dikongsikan melalui sebuah ciapan di laman Twitter SikhInside.
“Kepada kawan-kawan beragama Islam yang hendak menunaikan solat, sebuah bilik telah disediakan di Tingkat 1, Gurudwara Sahib Petaling Jaya khas untuk anda,” tulis SikhInside memaklumkan perkara tersebut.
Pagi tadi, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri turut sama berkunjung ke GSPJ dan dijemput meninjau proses penyediaan juadah untuk mangsa banjir.
Sumber: SikhInside