
Pemergian guru tadika, Nurul Syazwani, 33, dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika banjir di Kelantan semalam disifatkan sebagai kehilangan besar buat Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).
Menerusi laman Facebook PASTI Malaysia, satu hantaran khas dibuat bagi menghargai jasa guru berkenaan, Nurul Syazwani yang juga merupakan seorang tenaga pendidik di Tadika PASTI An-Nur, Kota Kubang Labu di Tumpat.
Ketua Pengarah PASTI Malaysia Damanhuri Dol berkata Nurul Syazwani merupakan guru komited dalam tugasan, menyumbang khidmat dalam pendidikan anak-anak menjadi inspirasi kepada warga PASTI.
“Seluruh saff Ahli Lembaga Pengarah PASTI Malaysia merakamkan ucapan takziah atas pemergian Almarhumah Cikgu Nurul Syazwani, guru pasti An Nur Kota Kubang Labu di Tumpat Kelantan.
“PASTI Malaysia mendoakan agar seluruh ahli keluarga Almarhumah dapat bersabar atas ujian ini. Semoga Allah SWT merahmati, mengampunkan dosa dan ditempatkan bersama para solihin.
Semalam, media melaporkan tiga beradik maut dipercayai akibat renjatan elektrik di luar rumah mereka yang dilanda banjir di Kampung Bendang Surau dekat Morak.
Kira-kira 11.45 pagi Isnin, kesemua mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian itu.
Difahamkan Syazwani terkena renjatan elektrik ketika memegang tiang rumah jiran sebelum disusuli dua adiknya yang turut terkena situasi sama selepas itu.
Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada semalam mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya menghentikan penularan video tiga beradik yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik tersebut.
Menerusi kenyataan media yang dikongsikan di Twitter, SKMM meminta supaya orang ramai menghormati mangsa dan privasi keluarga mangsa serta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.
Dalam pada itu, SKMM juga telah mengambil langkah proaktif bagi mengangkat perkara itu untuk perhatian dan tindakan selanjutnya daripada penyedia platform seperti Meta, Twitter dan TikTok dalam usaha mengekang penularan video terbabit.
“Orang awam digalakkan untuk sentiasa mengawal selia kendiri dan peka tentang kandungan yang mereka terima atau dikongsi secara dalam talian.
“Sama ada melalui aplikasi WhatsApp atau pun rakaman video di media sosial,” jelas SKMM menerusi sebuah kenyataan.
Sumber: PASTI Malaysia
BACA JUGA: Harta Si Mati Tak Boleh Difaraidkan Sebelum Waris Tunaikan Badal Haji? Ini Penjelasan Mufti