KUANTAN, 22 Dis (Bernama) — Seorang guru wanita mendakwa kerugian RM438,900 akibat diperdayakan sindiket Macau Scam sejak Ogos lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa, 44, mendakwa dihubungi seorang lelaki kononnya wakil syarikat insurans pada awal Ogos, bagi menyiasat penipuan tuntutan bernilai RM76,000 atas namanya.
Mangsa menafikan dakwaan itu, menyebabkan suspek memintanya berhubung dengan seorang lagi suspek lelaki yang dikatakan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Kuala Lumpur yang akan mengendalikan kes salah guna nama mangsa.
“Mangsa mendakwa telah membuka akaun itu namun hanya mampu menyediakan wang sebanyak RM439,032 dan suspek turut mengarahkan mangsa menyerahkan semua maklumat perbankan bagi tujuan siasatan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa membuat semakan di bank pada Isnin (20 Dis) dan mendapati wang akaunnya hanya berbaki RM132.31 selain terdapat banyak transaksi pemindahan wang secara online ke akaun tidak diketahuinya.
Mangsa cuba mendapatkan penjelasan daripada ‘pegawai polis’ tersebut, namun mendakwa nombor telefon itu tidak lagi digunakan.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Nenasi, Pekan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Sumber: BERNAMA