Jakarta : Gunung Tangkuban Parahu, destinasi pelancongan gunung berapi popular di Bandung, ditutup kepada pengunjung berikutan berlakunya kejadian letusan “phreatic” (phreatic eruption) secara tiba-tiba semalam.
Dalam kejadian 3.48 petang semalam, satu daripada kawah di gunung itu iaitu Kawah Ratu (Ratu crater) secara tiba-tiba meletus tanpa sebarang tanda-tanda amaran vulkanik.
Gambar : Tribun NewsPihak berkuasa Indonesia kini mengarahkan tiada sebarang aktiviti dalam dilingkungan 2km dari kawah berkenaan, yang terletak di puncak gunung berketinggian 2,284 meter itu, kata Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia, Agus Wibowo.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan meminta rakyat Malaysia yang berada di Bandung, menjauhi kawasan itu, dan mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa Indonesia.
“Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular diminta menghubungi talian +62215224947 atau +6281380813036,” kata kenyataan itu.
Berdasarkan beberapa video yang tular di media sosial sejak semalam yang dirakamkan orang awam, pengunjung di gunung itu panik, bertempiaran menyelamatkan diri, melarikan diri dengan kenderaan selepas gunung itu meletus dan mengeluarkan asap serta abu, sehingga setinggi 200 meter. Kali terakhir gunung itu meletus ialah pada 2013.
Sumber : Bernama