Gunung Lewotobi Laki-Laki Meletus Lagi, Bunyi Gemuruh Kuat Kedengaran
Gunung Lewotobi Laki-Laki di Kabupaten Flores Timur, Nusa Tenggara Timur (NTT) meletus dengan dahsyat pada malam tadi (19 September).
Memetik laporan Kompas.com, letusan tersebut disertai dengan bunyi gemuruh yang kuat dan semburan abu gunung berapi yang mencapai ketinggian 6,000 meter atau 6 kilometer.
Pegawai di Pos Pemerhatian Gunung Berapi (PGA), Emanuel Rofinus Bere melaporkan bahawa bunyi gemuruh kedengaran dari lokasi pemerhatian.
“Letusan itu berlaku pada pukul 10.46 malam waktu tempatan,” katanya.
Letusan itu juga direkodkan pada seismogram dengan amplitud maksimum 47.3mm dan tempoh lebih kurang 17 minit 7 saat.
“Ketinggian kepulan abu yang diperhatikan ialah 6,000 meter di atas puncak, kira-kira 7,584 meter dari aras laut,” ujarnya lagi.
Kepulan abu itu berwarna kelabu dengan keamatan tebal, condong ke arah barat dan barat daya.
Rofinus menasihatkan penduduk setempat memakai topeng atau peralatan perlindungan bagi mengelak bahaya abu gunung berapi.
Tegasnya, ketika ini tahap aktiviti gunung berapi tersebut berada pada tahap berjaga-jaga.
“Penduduk dan pelancong dinasihatkan tidak melakukan sebarang aktiviti dalam lingkungan 6 kilometer dan dalam 7 kilometer barat daya dan timur laut di pusat letusan,” katanya.
Sementara itu, AFP melaporkan bahawa aktiviti gunung berapi bersambung semula pada pagi Sabtu.
Agensi volkanologi merekodkan beberapa letusan termasuk satu yang menghantar kepulan abu 2.5 kilometer ke langit.
Selain itu, sebuah lapangan terbang yang menyediakan penerbangan domestik di bandar Maumere, juga di Flores, menggantung operasinya berikutan letusan terbabit.
Ketua lapangan terbang Frans Seda, Partahian Panjaitan memberitahu bahawa pihak berkuasa akan memantau perkembangan pada Ahad sebelum memutuskan sama ada lapangan terbang itu akan dibuka semula.
Pada Julai lalu, gunung berapi itu memuntahkan kepulan abu yang sangat besar sepanjang 18 kilometer, memaksa pembatalan 24 penerbangan di lapangan terbang antarabangsa di pulau peranginan Bali.
Sebelum ini, gunung tersebut juga telah merekodkan beberapa siri letusan yang memperlihatkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran pada tahap tertinggi.
Sumber: Kompas,