gunung berapi guatemala
Kredit: AFP

Gunung Berapi Muntahkan Lava, Penduduk Guatemala Dipindahkan

Azizah Najib

Gunung Berapi Muntahkan Lava, Penduduk Guatemala Dipindahkan

Guatemala – Pihak berkuasa mengarahkan ribuan penduduk berpindah pada Isnin apabila gunung berapi paling aktif di Amerika Tengah meletus, memuntahkan lava, abu dan batu lapor AFP.

Jurucakap agensi penyelarasan bencana Guatemala (CONRED), Juan Laureano berkata, kira-kira 900 mangsa dari 125 keluarga telah dipindahkan dari kejiranan El Porvenir ke kawasan selamat. Begitu juga penduduk di kejiranan Las Lajitas.

Pemindahan ini menyaksikan sebahagian mangsa dibawa ke dewan perbandaran yang dijadikan tempat perlindungan sementara dengan menaiki bas. Sementara itu, sebahagian lagi tinggal bersama rakan atau ahli keluarga.

Dalam pada itu, Ketua CONRED, Claudinne Ogaldes memaklumkan sekitar 30,000 penduduk berpotensi berada dalam risiko menerusi satu sidang media. Mereka dikehendaki berpindah jika perlu.

Penduduk yang masih trauma dengan letusan maut pada 2018 mencari perlindungan selepas Gunung Berapi Fuego yang terletak sekitar 35 kilometer dari ibu negara, Bandar Guatemala itu meletus.

Seorang penduduk Manuel Cobox, 46 tahun berkongsi detik letusan tersebut berlaku.

“Kami terdengar bunyi deruman, kemudian berlaku letusan yang kuat,” katanya selepas meninggalkan kediaman bersama isteri dan tiga orang anaknya.

Letusan yang berlaku pada 2018 menyebabkan 215 penduduk maut dengan jumlah yang sama dilaporkan hilang apabila letusan Gunung Berapi Fuego memuntahkan lava yang begitu banyak sehingga memusnahkan perkampungan San Miguel Los Lotes.

BACA: X Alami Serangan Siber Besar-Besaran – Elon Musk

Sumber: AFP