Gunung Berapi Di Iceland Muntahkan Lava, Bangunan & Rumah Penduduk Terbakar
Beberapa rumah dan bangunan terbakar di bandar Grindavik di barat daya Iceland susulan letusan gunung berapi yang memuntahkan lava cair hingga mengalir ke bandar itu.
Memetik CNN, letusan itu merupakan yang kedua dilihat di kawasan tersebut dalam beberapa minggu.
Bagaimanapun, ia tidak menyebabkan kemalangan jiwa dan memberi ancaman kepada penduduk kerana mereka sudah berpindah.
Menerusi kamera web yang disediakan oleh penyiar awam Iceland RUV menunjukkan aliran lava mengalir ke Grindavik. Juga kelihatan bangunan yang terbakar hanya beberapa meter dari rumah lain.
Menurut jurucakap Agensi Perlindungan Awam Iceland, Hjordis Gudmundsdottir, lava tersebut boleh sampai ke bandar dan merosakkan infrastruktur walaupun ia dilindungi oleh tembok anti-lava.
Tambahnya lagi, pihaknya masih lagi sedang mengesan aliran tersebut.
Ulasnya, 10% daripada penduduk biasa di bandar itu telah dipindahkan setakat ini. Malah, ramai yang masih belum pulang ke rumah masing-masing selepas letusan bulan lalu.
Gudmundsdottir juga memberitahu CNN bahawa lapangan terbang berdekatan di Keflavik selamat kerana letusan itu tidak menghasilkan sebarang abu yang boleh menjejaskan penerbangan atau perjalanan udara.
Gambar: AFP Via CNNDalam pada itu, pada Sabtu lepas, Pesuruhjaya Polis Kebangsaan Iceland mengarahkan penduduk di Grindavik, yang pertama kali dipindahkan pada bulan November, untuk berpindah sekali lagi pada malam Isnin selepas jalan raya di kawasan itu mengalami keretakan akibat aktiviti gunung berapi.
Arahan pemindahan terbaharu dibuat selepas Pejabat Meteorologi Iceland melaporkan pada Jumaat bahawa bahaya yang berkaitan dengan rekahan gunung berapi dianggap berisiko lebih tinggi daripada penilaian sebelumnya.
Susulan letusan itu, pihak polis meningkatkan kesiapsiagaan dan sebuah helikopter Pengawal Pantai Iceland juga telah dikerahkan untuk memantau keadaan.
Difahamkan, jumlah magma juga telah mencapai tahap yang sama seperti ketika letusan terdahulu yang berlaku pada bulan Disember.
Menurut pihak berkuasa, letusan pada bulan Disember dianggap paling besar setakat ini
Untuk pengetahuan, terdapat 32 gunung berapi yang masih aktif di Iceland dan ia terletak di atas sempadan plat tektonik yang terus ‘berpecah’.
Sumber: CNN