
Gunung Berapi Berlumpur Meletus, Api Menjulang Setinggi Dua Meter
Taiwan — Gunung berapi berlumpur di hadapan sebuah tokong di Pingtung, Taipei meletus selama hampir tiga jam sehingga mengakibatkan kawasan sekitar dipenuhi lumpur.
Menurut laporan Taiwan News, letusan tersebut berlaku sekitar jam 5 hingga 8 pagi waktu tempatan pada Rabu.
Ketua Sami Tokong Huangyuan, Chang Pao-hui mengesahkan letusan itu merupakan kejadian kedua yang berlaku di lokasi berkenaan dalam tempoh enam bulan.
Sejurus menerima laporan berkenaan letusan tersebut, Ketua Kampung Wannei, Chen Yu-yi bergegas ke tempat kejadian.
Bagi mengelakkan lumpur membanjiri kawasan pertanian di sekitar, Yu-yi mengarahkan kerja-kerja mengorek lencongan dilakukan.
Lima letusan dikesan dengan kesemuanya menghasilkan api setinggi hampir dua meter.
Dilaporkan, gunung berapi lumpur Wandan yang terletak berhampiran sempadan Bandar Wandan dan Xinyuan meletus sekurang-kurangnya sekali dalam setahun semenjak 1988.
Menurut pihak berkuasa tempatan, biarpun letusan lumpur ini sukar diramal, kebanyakan kejadian berlaku di Kampung Wannei dan kawasan sekitar.
Terdahulu, sebuah rakaman video menunjukkan letusan lumpur yang mengeluarkan api tular di media sosial mendapat perhatian ramai.
Sebagai makluman, gunung berapi lumpur merupakan fenomena geologi yang terhasil apabila gas bawah tanah yang bertekanan tinggi seperti metana bercampur dengan air bawah tanah.
Kejadian ini kemudiannya melarutkan batu lumpur dan membentuk buburan yang ditolak ke permukaan melalui rekahan.
Pembentukan ini muncul dalam saiz yang berbeza, iaitu dari beberapa meter hingga ke beberapa kilometer bagi ukuran diameter. Buburan tersebut mampu mencapai ketinggian mencecah beberapa ratus meter.
Sumber: Taiwan News