Guna Teleskop Dari Rumah, Lelaki Berjaya Rakam Gambar “Dolphin Head Nebula”
Langit malam sentiasa menyimpan pelbagai kejutan. Ada kalanya, ia memperlihatkan fenomena yang bukan sahaja sukar dijelaskan, malah terlalu indah untuk diabaikan. Salah satu daripadanya ialah struktur gas berbentuk luar biasa yang digelar sebagai fenomena Nebula Kepala Ikan Lumba-Lumba (Dolphin Head Nebula).
Fenomena ini berjaya dirakam oleh seorang peminat astronomi, Amri Karim dan dikongsi menerusi laman Facebook peribadinya. Nebula tersebut terbentuk daripada hasil pancaran angin bintang sebuah bintang gergasi yang sedang melalui fasa akhir hayatnya. Bintang berkenaan bersaiz 20 kali lebih besar daripada Matahari dan beberapa juta kali ganda lebih terang.
Apa yang lebih menakjubkan, gambar ini dirakam bukan di balai cerap atau lokasi khas cerapan, sebaliknya di kediaman lelaki berkenaan sendiri. Menggunakan teleskop Sharpstar 13028HNT, peminat astronomi ini berjaya menangkap imej tersebut selepas hampir 10 jam pendedahan cahaya, dikumpul dalam tempoh 15 malam berasingan.
Usaha gigih ini memerlukan perancangan teliti, ketekunan serta pemahaman mendalam dalam bidang astrofotografi.
Menurutnya ketika ditanya SK, gambar tersebut dirakam dari kediamannya di Subang.
“Semua gambar saya tangkap tu, tangkap dari rumah di Subang. Dia tak nampak terus. Kena kumpul cahaya lama-lama, berjam-jam, selalunya beberapa malam. Lepas tu kena tapis buang pencemaran cahaya, baru nampak,” jelas lelaki berkenaan.
Teruja, lelaki tersebut turut berkongsi kaedah yang diguna pakai untuk mendapatkan lokasi nebula berkenaan.
“Macam Google Maps untuk atas bumi, ada aplikasi macam Stellarium yang membentangkan peta untuk angkasa. Kedudukan semua dah siap kira. Semua ni masuk jadual, perancangan, cuma pilih objek mana satu nak tangkap gambar,” tambahnya lagi.
Mengulas lanjut, nebula ini dikatalogkan oleh NASA sebagai Sharpless 2-308.
Menerusi penerangan NASA, bintang yang terletak kira-kira 5,000 tahun cahaya dari Bumi di buruj Canis Major ini dianggarkan berdiameter sekitar 60 tahun cahaya. Nebula ini dibentuk oleh bintang Wolf-Rayet yang terletak hampir di tengah struktur tersebut.
Bintang gergasi ini kini berada dalam fasa sebelum meletup sebagai supernova. Angin bintang yang kuat meniup gas dari fasa evolusi sebelumnya, membentuk gelembung besar berusia sekitar 70,000 tahun.
Sebelum ini, lelaki tersebut turut pernah menyiarkan himpunan gambar Katalog Messier koleksi peribadinya yang dirakam antara tahun 2023 hingga 2024. Koleksi yang begitu menakjubkan itu membuatkan ramai terpegun.
Sumber: Amri Karim, NASA
BACA: Fenomena Jarang Berlaku, Lebih 150 Ekor Ikan Lumba-Lumba Ditemui Terdampar
BACA: Pernah Dapat Bantuan Zakat, Wanita Titip Nasihat Buat Penerima Lain