
Guna Krim Tak Sah, Remaja Perempuan Maut Selepas Picit Jerawat
HANOI — Seorang gadis berusia 15 tahun di Hanoi, Vietnam dilaporkan meninggal dunia selepas memicit jerawat dan menggunakan produk sapuan yang tidak disahkan di rumah, lapor Must Share News
Menurut kenyataan Hospital Nasional Penyakit Tropika Vietnam pada Jumaat (27 Jun), gadis tersebut mengalami kejutan septik (septic shock) akibat jangkitan bakteria Staphylococcus aureus, yang memasuki tubuh melalui luka jerawat yang meradang di wajahnya.
Media tempatan Vietnam Hoa Học Trò melaporkan, bakteria tersebut merebak dengan pantas dalam tubuh gadis itu dan menyebabkan kerosakan serius pada otak serta paru-parunya.
Walaupun telah menerima rawatan rapi termasuk bantuan pernafasan dan penapisan darah berterusan, mangsa tidak menunjukkan sebarang respon terhadap rawatan dan disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, pakar dermatologi di hospital berkenaan menjelaskan bahawa memicit jerawat menggunakan tangan yang tidak bersih boleh merosakkan kulit dan membenarkan bakteria masuk lebih dalam, seterusnya menyebabkan selulitis atau sepsis jika tidak dirawat segera.
“Orang ramai perlu mengelak daripada memicit jerawat sendiri di rumah, sebaliknya mendapatkan rawatan di pusat perubatan yang bertauliah sekiranya perlu melakukan prosedur tersebut,” katanya.
Beliau turut menasihatkan agar menjaga kebersihan, mengelakkan daripada menyentuh muka dengan tangan, dan tidak menggunakan produk jerawat sembarangan yang tidak diketahui asal usulnya.
Bagi mereka memakai solekan, beliau menyarankan agar memilih produk non-comedogenic (tidak menyumbat pori) dan memastikan kulit dibersihkan dengan sempurna selepas itu.
Sumber: Must Share News