Dr Mohammed Adnan Rajab bergambar bersama isterinya Almaza selepas selesai majlis konvoksyen berlangsung di Dewan Tuanku Canselor USIM.
Meskipun mengalami masalah penglihatan sejak berusia 5 tahun, ianya tidak menghalang kejayaan seorang guru Bahasa Arab yang berasal daripada Palestin untuk menerima Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pengajian Bahasa Arab pada Sidang Pertama Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kali ke-20.
Dr. Mohammed Adnan Rajab Alattar merupakan antara salah seorang graduan daripada 2,955 pelajar yang bergraduasi pada majlis konvokesyen kali ini. Beliau sebelum ini telah mendapatkan pendidikan pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana di Universiti Islam Gaza di Palestin pada 2017 sebelum menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah di USIM untuk tempoh selama tiga tahun.
Sepanjang pengajian beliau di USIM, segala tugasan dan penulisan tesis beliau telah dibantu oleh sahabat baik beliau dan berada di bawah pengawasan penyelianya Dr. Zainal Abidin Hajib dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU). Hal ini kerana beliau hanya mampu mendengar dan bercakap sahaja.
Meskipun masalah penglihatannya bertambah serius sejak lima tahun kebelakangan ini, ia tidak menghalang beliau menamatkan pengajian dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Ketika ditanya mengenai dorongan dan semangat untuk menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah, beliau berkata “Saya ingin membuktikan kepada diri saya walaupun saya mempunyai masalah penglihatan, saya ingin mencapai kejayaan pada peringkat pendidikan yang tinggi”.
“Selain itu, antara cabaran yang turut dihadapi sepanjang tempoh melengkapkan pengajiannya ialah masalah penerimaan masyarakat terhadap golongan sepertinya” ujar beliau.
Majlis Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kali ke-20 berlangsung bermula 13 sehingga 15 Disember 2022 ini.