Tiada Kategori

Google Senaraikan Content Forum Dalam Program Priority Flagger

Azmil

Google Senaraikan Content Forum Dalam Program Priority Flagger

KUALA LUMPUR, Malaysia, 24 Julai 2025 – Google hari ini mengumumkan bahawa Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Content Forum) telah menyertai Program Priority Flagger Google dan YouTube bagi menyokong usaha Malaysia dalam mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat.

Program Priority Flagger diperkenalkan sebagai satu inisiatif untuk membolehkan agensi kerajaan tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) yang mengambil bahagian untuk melaporkan kandungan yang berpotensi melanggar dasar atau menimbulkan masalah pada produk dan perkhidmatan tertentu Google. Dengan kepakaran khusus dalam pelbagai bidang, organisasi-organisasi ini mempunyai tahap ketepatan yang lebih tinggi dalam mengenal pasti kandungan yang melanggar dasar.

Beroperasi di bawah penyeliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Content Forum ini memainkan peranan sebagai sebuah badan industri kawal selia kendiri yang berkomited dalam mempromosikankan amalan kandungan yang bertanggungjawab merentasi media elektronik berangkaian. Sebagai sebahagian daripada Program Priority Flagger, Content Forum akan mengembangkan kepakarannya untuk membantu mengenal pasti kandungan yang berpotensi melanggar dasar di saluran YouTube dan Google, dengan mengambil kira konteks budaya tempatan.

Sebagai organisasi yang mengambil bahagian, mereka akan diberikan akses kepada saluran khas untuk melaporkan kepada Google sebarang kemungkinan pelanggaran dasar yang akan diberikan keutamaan untuk disemak. Mereka juga akan terlibat dalam perbincangan dan memberikan maklum balas berkaitan dasar kandungan Google dan YouTube.

Farhan S. Qureshi, Pengarah Negara, Google Malaysia berkata, “Di Google, kami percaya bahawa mewujudkan persekitaran digital yang selamat memerlukan kerjasama seluruh ekosistem. Dengan bekerjasama dengan organisasi seperti Content Forum, kami menambah satu lapisan kepakaran tempatan yang penting, sekali gus memperkukuh keupayaan kami untuk bertindak balas terhadap kandungan bermasalah dengan lebih tepat dan relevan. Program Priority Flagger mengukuhkan komitmen kami untuk memperkasa rakan kongsi yang dipercayai serta memastikan platform kami kekal selamat untuk semua, di mana jua.”


Mediha Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia berkata, “Penyertaan dalam Program Priority Flagger Google dan YouTube menandakan satu kemajuan bermakna dalam usaha kami menyokong keselamatan kandungan di Malaysia. Ia membolehkan kami bergerak melangkaui sekadar dialog kepada tindakan yang nyata, memastikan kandungan yang melanggar dasar dapat ditandakan dan disemak dengan segera. Kerjasama ini mencerminkan peranan berterusan Content Forum dalam menetapkan piawaian industri, memperkasa komuniti, dan menyumbang kepada ekosistem digital yang lebih selamat melalui tanggungjawab bersama.”