Susulan perlaksanaan ‘total lockdown’ atau penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 Jun lalu, kerajaan telah mengumumkan pelbagai bantuan kepada rakyat melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa PLUS).
Antara yang menarik perhatian rakyat adalah pemberian moratarium untuk golongan B40, pekerja dan PKS yang terjejas. Mereka diberi pilihan sama ada mendapat kelulusan automatik moratorium selama tiga bulan atau pengurangan bayaran balik ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.
Namun, timbul persoalan ramai mengenai adakah golongan M40 juga layak menerima bantuan moratorium seperti golongan B40. Tinjauan di media sosial menunjukkan berlakunya perdebatan daripada segelintir golongan M40 yang mendakwa mereka ‘dianaktirikan’ oleh kerajaan.
Tampil memberi penjelasan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bekata, golongan M40 juga layak menerima bantuan moratorium secara automatik jika memenuhi syarat atau kriteria yang dinyatakan ini.
Saya melihat banyak pertanyaan sama ada golongan M40 juga layak menerima bantuan moratorium.
Jawapan ringkasnya, YA. Jika anda kehilangan pekerjaan, tidak kira anda M40 atau T20, anda layak untuk menerima moratorium secara automatik.
Jika anda menghadapi pengurangan pendapatan, tidak kira anda M40 atau T20, anda juga layak untuk menerima pengurangan ansuran bulanan. ⠀
Bantuan bank adalah dijamin bagi peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan akibat pandemik. Golongan peminjam seperti individu yang kehilangan pekerjaan (B40, M40 dan T20), golongan B40 (penerima BSH atau BPR), perniagaan mikro dan PKS dalam sektor yang tidak dibenarkan untuk beroperasi akibat PKP (locked down sectors) juga boleh memilih untuk mendapat moratorium automatik selama 3 bulan atau pengurangan bayaran balik ansuran sebanyak 50% selama 6 bulan secara automatik.
Bagi peminjam yang mengalami pengurangan pendapatan (B40, M40 dan T20), mereka boleh mendapat pengurangan bayaran balik ansuran yang bersesuaian, selaras dengan pendapatan yang berkurang. Pendekatan ini membolehkan peminjam membuat pilihan berdasarkan keadaan dan keperluan kewangan masing-masing.
Peminjam hanya perlu pilih dan dapat bantuan bayaran balik pinjaman yang bersesuaian daripada bank. Kelulusan adalah secara automatik. ⠀
Fakta yang tepat boleh dirujuk daripada sumber rasmi seperti https://www.bnm.gov.my/o/covid-19/ra_bm.html dan https://www.facebook.com/83552599871/posts/10159341710829872/? yang merupakan pengawal selia sektor perbankan di Malaysia.

Sumber: FB Tengku Zafrul