
Gimnasium kini dibuka dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi penerima vaksinasi lengkap, berkuat kuasa hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan perkara berkenaan menerusi ciapan ringkas di Twitter sebentar tadi, beserta SOP yang telah dikemaskini dalam laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Guys, enjoy the gym, follow SOPs. Gyms are now open for business. Please follow the SOPs and especially the ventilation guidelines. Enjoy healthy living!,” tulisnya.
Menerusi paparan SOP di laman web MKN, pengoperasian semua aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal atau tidak bersentuhan fizikal di kawasan terbuka (outdoor) dan secara individu atau berkumpulan di kawasan tertutup (indoor) adalah terhad bagi penerima vaksin lengkap.
Semua operasi dibenarkan bermula dari jam 6 pagi hingga 10 malam, tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa.
Difahamkan, kapasiti pengunaan fasiliti tersebut hanya dihadkan sehingga 50 peratus sahaja beserta dengan kawalan penyeliaan, selain hanya melibatkan tenaga kerja maksimum 60 peratus sahaja merangkumi pengurusan dan operasi.
Bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap, mereka dibenarkan untuk membawa anak-anak yang berusia 17 tahun dan ke bawah bagi aktiviti tersebut dengan pematuhan SOP yang ketat.
Sumber: Twitter Faizal Azumu