Setiap sukan cukup terkenal dengan trademark pakaian seragam terutama bagi sukan gimnastik. Kebiasaannya, para atlet perlu memakai pakaian dengan corak yang cantik dan ‘berseni’, sesuai dengan ‘lenggok’ sukan itu.
Pun begitu, pakaian yang agak ketat dan ‘terdedah’ itu sebenarnya menimbulkan ketidakselesaan bagi sesetengah atlet. Ia bahkan menjadi perdebatan yang hangat sejak sekian lama.
Apabila kejohanan Olimpik di Tokyo bermula, isu tersebut kembali mendapat perhatian apabila pasukan gimnastik Jerman telah melancarkan pakaian seragam lengkap yang menutup seluruh badan atau Unitard untuk atlet-atletnya.
Ia digambarkan sebagai pendirian mereka untuk ‘memprotes’ seksualisasi di dalam sukan itu, lapor Insider.
Salah seorang atletnya yang terkenal, Sarah Voss telah berkongsi beberapa keping gambar di Instagram yang memaparkannya berlatih dan memakai pakaian dengan seluar panjang berwarna merah jambu dan hitam terang yang menutupi sehingga ke pergelangan kakinya.

Turut dilihat di dalam gambar tersebut adalah ahli pasukannya yang lain iaitu Elisabeth Seitz, Kim Bui dan Pauline Schaefer.
Mereka juga dilaporkan telah memakai pakaian yang serupa kita bertanding di Kejuaraan Eropah di Basel, Switzerland pada April lalu.
German Federation menjelaskan bahawa keputusan untuk tidak memakai leotard seperti kebiasaannya adalah merupakan pilihan para gimnas mereka sendiri. Ia juga sebagai gambaran untuk menentang seksualisasi bagi sukan gimnastik.

Sementara itu, Sarah Voss menerusi satu rancangan radio pada 28 April lalu mengatakan bahawa pakaian badan yang lengkap dapat membantu para gimnas merasa lebih selesa sama ada semasa latihan atau pertandingan.
“Kami memakai pakaian seperti itu kerana pemakaian Leotard kadang-kadang tidak selesa terutama ketika melakukan split dan melompat, ia tidak menutupi bahagian badan sepenuhnya.
“Ia sebenarnya boleh menganggu konsentrasi ketika sedang beraksi,” katanya.
Jelasnya lagi, dia berharap agar boleh menjadi role model kepada gimnas muda yang ingin meneruskan kerjaya gimnastik dengan lebih ‘selesa’.
Sumber: Insider