penunggang ojek anggota brimob
Gambar: Tribunnews

Gilis Penunggang Ojek: Tujuh Anggota Brimob Dikenakan Tahanan Khas

Iqbal Yasir

Gilis Penunggang Ojek: Tujuh Anggota Brimob Dikenakan Tahanan Khas

JAKARTA — Tujuh anggota Brimob dari Polda Metro Jaya yang terlibat dalam insiden kematian penunggang ojek online, Affan Kurniawan, dikenakan penempatan khas (patsus) selama 20 hari bagi membantu siasatan, lapor CNN Indonesia.

Perkara itu dimaklumkan oleh Kepala Divisi Propam Polri, Irjen Abdul Karim dalam satu kenyataan rasmi.

Tambah Irjen, siasatan awal turut mengesahkan bahawa tujuh anggota Brimob tersebut terbukti melanggar kode etika profesi kepolisian.

“Terhadap tujuh orang terduga pelanggar, kami pastikan mereka terbukti melanggar kode etika kepolisian. Namun, proses pemeriksaan masih berjalan,” katanya dalam sidang media di Mabes Polri, di sini, hari ini.

Buat masa ini, kesemua mereka dikenakan penempatan khusus (patsus) selama 20 hari di bawah pengawasan Propam Polri bagi melengkapkan proses pemeriksaan lanjut.

Abdul Karim menjelaskan, siasatan terhadap unsur pidana akan dilakukan oleh unit siasatan berasingan selepas proses selesai.

“Fokus kami sekarang adalah menyelesaikan proses kode etik terlebih dahulu. Setelah itu, barulah konstruksi pidana akan didalami oleh unit berkaitan,” jelasnya lagi.

Tambahnya, pihak polri memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan dengan teliti dan adil, termasuk kemungkinan menetapkan status suspek secara rasmi selepas proses penyiasatan disempurnakan

Terdahulu pada Khamis, seorang pemandu ojol, Affan Kurniawan maut selepas dilanggar dan digilis kenderaan berperisai Brimob yang digunakan untuk meredakan demonstrasi di Jakarta.

BACA: Penghormatan Terakhir, Ribuan Penunggang Ojek Iringi Jenazah Lelaki Digilis Kenderaan Polis

Semalam Presiden Indonesia, Prabowo Subianto tampil memberikan penjelasan berhubung demonstrasi berkenaan.

Beliau dalam kenyataan video rasmi hari ini menzahirkan rasa sedih dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Dalam masa yang sama, Prabowo menegaskan pemerintah akan memberi jaminan dan perhatian khusus terhadap kebajikan keluarganya.

“Saya, atas nama peribadi dan Pemerintah Republik Indonesia, mengucapkan takziah sedalam-dalamnya. Pemerintah akan memastikan kehidupan keluarga mangsa terjaga,” kata Prabowo.

Beliau turut melahirkan kekecewaan terhadap tindakan keterlaluan petugas sehingga menyebabkan insiden itu berlaku.

Prabowo memaklumkan bahawa beliau telah mengarah siasatan penuh dan telus berhubung kejadian tersebut serta memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati terdapat petugas yang bertindak di luar prosedur dan undang-undang.

Sumber: CNN Indonesia (1) (2)