Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dilaporkan telah melarang kabinet menterinya ke luar negara kecuali jika ada urusan penting.
Menurut CNN Indonesia, Jokowi mengingatkan bahawa negara itu kini sedang menjalani Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Darurat dan semua kementerian, institusi dan pemimpin diminta agar mempunyai kepekaan terhadap situasi krisis atau sense of crisis.
Setiausaha Kabinet, Pramono Anung mengatakan bahawa Jokowi telah menetapkan sejumlah sekatan untuk menteri-menteri dan salah satunya adalah larangan ke luar negara.
Pun begitu, pengecualian akan diberikan kepada Menteri Luar Negeri selagi ia berkait dengan tugasnya.
“Menteri yang lain perlu mendapatkan kebenaran langsung dari Presiden jika ada keperluan yang mustahak,” kata Pramono yang menyampaikan arahan Jokowi itu.
Dalam pada itu, Indonesia kini menyaksikan peningkatan jumlah kes positif yang sangat tinggi iaitu mencapai sehingga lebih 50,000 kes sehari dengan jumlah kematian yang amat membimbangkan.
PPKM di Jawa dan Bali telah dilaksanakan bermula dari 3 Julai yang lalu dan bakal dilanjutkan sehingga hujung bulan ini.
Sumber: CNN Indonesia