Wabak Covid-19 yang melanda negara, menyebabkan ramai yang terjejas dari segi pendapatan. Ada yang kehilangan pekerjaan dan terpaksa bergelut untuk mencari rezeki yang halal demi menyara keluarga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, dalam satu hantaran di Twitter, meminta mana-mana pihak yang sedang dalam kesempitan hidup khususnya di Putrajaya untuk mendapatkan barangan keperluan mereka secara percuma.
Barangan keperluan tersebut boleh didapati menerusi Gerobok Rezeki yang terletak di Kedai MAIWP, Presint 5, Putrajaya.
Ianya merupakan usaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam mengajak masyarakat agar bersama membantu golongan asnaf dengan menyumbang melalui program tersebut.
Mereka yang ingin membantu boleh membeli apa-apa barangan di kedai MAIWP dan memaklumkan kepada petugas bahawa barang tersebut untuk disumbangkan kepada sudut Gerobok Rezeki di situ.
Sumber: Twitter @drzul_albakri