
Gerenti Jadi, Ini Cara Mudah Nak Buat Telur Sarang
Kalau korang peminat Laksa pasti pernah dengar tentang menu Laksa Sarang Telur yang popular terutamanya di Utara.
Apa itu Sarang Telur atau Telur Sarang?
Telur Sarang merupakan bahan sampingan yang dimakan bersama laksa bagi menggantikan telur rebus.
Menu ini kebiasaannya dimakan dengan Laksa di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan juga Perlis.
Tapi tahukah anda bahawa terdapat cara yang mudah untuk membuat hidangan ini. Selepas ini anda boleh membuatnya sendiri untuk dimakan bersama kaum keluarga di rumah.
Oleh itu, mari ikuti perkongsian daripada Hello Doktor tentang bagaimana cara mudah untuk membuat Telur Sarang tersebut.
Siapa di sini peminat laksa sarang telur? Apa yang menjadikan menu ini kegemaran anda? Ya, kebanyakannya adalah kerana hidangan telur berbentuk sarang yang diletakkan bersama ke dalam mangkuk laksa tersebut. Ini resepi telur sarang yang anda sendiri boleh buat di rumah.

Laksa telur bersarang ini sebenarnya lebih sinonim dengan negeri-negeri di bahagian utara Malaysia seperti Perak, Pulau Pinang, Kedah dan juga Perlis.
Ini kerana, telur bersarang ini hanya diletakkan dalam hidangan laksa utara seperti laksa Penang, laksa Kedah atau laksa Kuala Kangsar.
Ramai yang mengakui bahawa gabungan antara telur bersarang dan juga laksa utara ini sememangnya satu kombinasi yang cukup ‘ngam’.
Namun, bagi anda yang kurang menggemari laksa asam ini, telur sarang juga boleh dimakan bersama-sama nasi putih panas seperti lauk-lauk lain.
Paling penting, anda kena tahu kaedah atau cara membuatnya dengan betul.

Telur bersarang bukanlah satu hidangan yang sukar. Ia sebenarnya amat mudah dan seolah-olah anda membuat telur dadar sahaja.
Namun, teknik memasaknya yang menjadikan ia berbeza dengan telur goreng biasa atau telur dadar. Lihat bahan dan cara membuat sarang telur seperti di bawah ini:
Bahan-bahannya:
2 atau 3 sudu besar air masak
Sedikit garam
Cara-caranya:
Masukkan minyak masak ke dalam kuali dan panaskan minyak dengan api yang kuat. Pastikan minyak tidak terlalu kecil kerana ia tidak akan membuatkan telur garing dengan cepat seperti yang kita mahu.
Pecahkan telur ke dalam sebiji mangkuk dan masukkan air masak ke dalam telur tersebut. Kacau telur sehingga menjadi berbuih.
Setelah minyak betul-betul panas, tuangkan telur ke dalam kuali. Teknik yang perlu anda ingat di sini, tuangkan secara perlahan-lahan bermula daripada kedudukan mangkuk berdekatan kuali dan tarik mangkuk ke atas tinggi-tinggi. Minyak yang panas dengan tuangan telur yang halus akan membuatkan telur terus berbuih dan cepat garing.
Biarkan seketika sebelum membalikkan telur tersebut.
Kecilkan sedikit api dapur dan biar telur garing sehingga berwarna kecoklatan.
Apabila kedua-dua belah telur telah garing dan rangup, angkat dan toskan terlebih dahulu.
Siap untuk dimakan.

*Elakkan daripada membuat adunan telur yang banyak dalam satu gorengan kerana ia akan menjadikan telur lambat atau tidak garing.
Walaupun ia agak sedap, tidak bermakna anda boleh makan telur goreng seperti ini setiap hari.
Ini kerana, kaedah penggorengannya dengan menggunakan minyak yang banyak menjadikan telur ini agak tinggi kalori.
Selain itu, ia juga boleh meningkatkan kolesterol anda.
Oleh itu, makan secara berpada-pada dan hadkan kepada satu keping sarang telur sahaja bagi satu hidangan laksa.
Telur itu sendiri merupakan sumber protein yang baik dan bagus untuk tubuh kita. Namun kaedah memasaknya yang kurang sihat menjadikan pengambilan hidangan telur ini perlu dihadkan.
Selamat mencuba!
Sumber: Hello Doktor