Genting Culinary Classic 2025 Melabuhkan Tirai dengan Kejayaan Cemerlang, Cungkil Bakat Baharu Kulinari Negara
Genting Highlands, 11 Jun 2025 – Edisi pertama Genting Culinary Classic 2025 yang berlangsung pada 10 dan 11 Jun di Genting International Showroom (GISR) berjaya dilangsungkan dengan penuh gemilang. Dianjurkan melalui kerjasama strategik antara Resorts World Genting (RWG) dan program kompetitif kulinari HAPA (Hospitality Asia Platinum Awards), acara ini menerima penyertaan yang luar biasa daripada bakat-bakat kulinari yang membuktikan semangat dan minat yang semakin berkembang terhadap kecemerlangan masakan di seluruh
rantau ini.
Selepas melalui proses pemilihan teliti di peringkat kebangsaan, seramai 20 finalis telah dipilih untuk menyertai Genting Culinary Classic 2025, sekali gus berpeluang menonjolkan bakat, kreativiti dan ketangkasan dalam seni kulinari dalam suasana pertandingan yang kompetitif. Antara peserta yang mencuri perhatian pada edisi kali ini ialah Chef Low Wee Keong, yang kehilangan penglihatan hampir dua dekad lalu. Beliau berjaya menyentuh hati para hadirin menerusi semangat juangnya dan hidangan penuh makna iaitu Ikan Stim Kapitan berinspirasikan cita rasa Nyonya Peranakan yang mencerminkan warisan budayanya.
Chef media sosial Jia Le Woh menerima sijil penghargaan atas sumbangannya sebagai juri pertandingan.Turut mencuri tumpuan ialah bekas penyampai radio MY FM, Emely Poon, yang memukau barisan juri dengan komitmennya terhadap masakan tradisional Malaysia. Beberapa tukang masak baharu yang berbakat turut menyerlah dengan hidangan autentik dan bersifat peribadi, menyuntik dimensi emosi serta keterhubungan budaya yang memperkayakan naratif keseluruhan pertandingan.
Acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran cef selebriti terkemuka, Martin Yan. Selain berperanan sebagai juri pertandingan, beliau memikat hati para tetamu dengan demonstrasi masakan secara langsung dan menyajikan hidangan istimewa hasil tangan khas beliau. Bermula dari 1 Julai hingga 30 September 2025, sajian eksklusif hasil sentuhan Chef Yan akan disajikan di High Line dan Restoran Old Friends, manakala hidangan-hidangan oleh para juara pertandingan pula boleh dinikmati di beberapa restoran terpilih di seluruh resort. Inisiatif kulinari ini memberi peluang istimewa kepada para pengunjung untuk menikmati citarasa yang telah memikat hati para juri serta meraikan semangat kecemerlangan gastronomi yang diperkenalkan sepanjang acara ini.
Finalis Kumpulan 3 dan Kumpulan 4 bergambar bersama sebagai penutup rasmi sesi pertandingan.Menambahkan lagi seri acara berprestij ini ialah kehadiran Timbalan Ketua Pengarah, Promosi II Tourism Malaysia, Samuel Lee. Kehadiran beliau menyerlahkan kepentingan Genting Culinary Classic 2025 sebagai platform untuk mengetengahkan kepelbagaian kulinari Malaysia serta potensi kreatif negara di peringkat antarabangsa.
Selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 anjuran Tourism Malaysia, Genting Culinary Classic 2025 bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama peminat seni kulinari di seluruh dunia, dengan menonjolkan kepelbagaian warisan kulinari negara serta kemunculan bakat-bakat baharu.
(Dari kiri) Lo Tshun Ket (Naib Juara), Budiman Bistari (Juara), Chef media sosial Jia Le Woh, chef selebriti Martin Yan, Samuel Lee (Timbalan Ketua Pengarah Promosi II, Tourism Malaysia), Spencer Lee (Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam, Resorts World Genting), Chef Jo dari MasterChef, Jennifer Ong (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HAPA), Chef Supachai Saisoigeon (Resorts World Genting), Lim Boon Ghee (Tempat Ketiga), Ahmad Fairul Aimie (Tempat Keempat), dan Wong Cher Yoon (Tempat Kelima) bergambar bersama sebagai penutup acara penuh penghargaan.Lima finalis terbaik berjaya membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM64,000. Tempat kelima dimenangi oleh Wong Cher Yoon menerusi hidangan Crab Alchemy Golden Treasure of Shark Fin au Gratin, manakala Ahmad Fairul Aimie meraih tempat keempat dengan Nasi Kerabu Utara bersama Ikan Bakar dan Sambal Kelapa. Lim Boon Ghee pula menduduki tempat ketiga dengan sajian penuh kreativiti, Sugarcane Smoked Bidor Duck Breast bersama Nasi Kerabu Duck Liver Onigiri dan Budu Lime Vinaigrette Ulam. Naib juara disandang oleh Lo Tshun Ket dengan interpretasi moden Mee Tauhu Tawau. Gelaran juara utama menjadi milik Budiman Bistari yang memikat para juri dengan hidangan Ayam Goleh Buah Kulim yang dipuji kerana aroma berasap yang menggoda, sentuhan kompleks dan keserlahan rasa unik buah kulim, buah yang amat jarang ditemui dan digunakan dalam masakan.
Spencer Lee, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, berkata, “Genting Culinary Classic 2025 bukan sekadar sebuah acara pertandingan gastronomi, tetapi platform untuk meraikan bakat tempatan dan serantau dalam usaha mengangkat nama Malaysia di pentas kulinari antarabangsa.”

Genting Culinary Classic 2025 yang dibawakan oleh Resorts World Genting dengan kerjasama HAPA serta sokongan Tourism Malaysia, menandakan permulaan kepada sebuah acara tahunan yang menghimpunkan kepakaran dan inovasi dalam dunia kulinari. Kejayaan penganjuran sulung ini menjadi landasan kukuh bagi penganjuran edisi kedua pada tahun hadapan, selari dengan usaha berterusan untuk menyerlahkan bakat serta memperkasa industri kulinari serantau. Para pengunjung turut berpeluang meneruskan pengalaman gastronomi mereka menerusi sajian eksklusif yang diilhamkan daripada acara ini, kini diperkenalkan di beberapa restoran terpilih.