protes minyak naik
Gambar: petikan video Twitter

‘Gempur’ Kereta Kerajaan, Ini Suasana Protes Tolak Harga Minyak Naik Di Indonesia

Nurhanis

Demonstrasi menolak kenaikan harga minyak yang berlangsung di sekitar Senayan, Jakarta baru-baru ini menyaksikan pelbagai situasi genting berlaku melibatkan orang awam dan pihak berkuasa.

Antara detik genting yang menjadi tumpuan adalah beberapa buah kereta kerajaan antaranya yang dipercayai jenis Toyota Alphard dikatakan terpaksa ‘melepaskan diri’ ekoran pengiringnya diserang orang awam.

CNBC Indonesia melaporkan, terdapat tiga tuntutan yang ditunjukkan dalam rusuhan antaranya menolak kenaikan harga minyak, undang-undang omnibus Cipta kerja dan menuntut kenaikan UMK 2021 sebanyak 10 hingga 13 peratus.

Menurut Presiden Konfederasi Serikat Pekerja Indonesia (KSPI) Said Iqbal ketika itu, demonstrasi akan masih diteruskan sehingga pihak berwajib membatalkan kenaikan harga BBM.

“Demonstrasi akan dilakukan pada Khamis, sehingga awal bulan Disember atau November turun ke bandar daerah.

“Dari pihak kami, seramai lima juta buruh telah mengikuti rusuhan sehingga menghentikan kilang untuk beroperasi,” kata Iqbal memetik CNBC baru-baru ini.

Gambar: Muhammad Sabki/CNBC Indonesia

Ujarnya lagi, demonstrasi yang dilakukan di bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) itu sama sekali tidak dipedulikan oleh pihak berkenaan.

Ketika ditemubual CNBC, Iqbal berharap agar pihak DPR dapat mendengar tuntutan golongan marhaen dan pekerja termasuklah buruh, petani, nelayan dan guru.

Namun sehingga petang hari kejadian, mereka dikatakan tidak keluar daripada perkarangan bangunan tersebut.

Difahamkan, demonstrasi itu melibatkan seramai 2,000 anggota KSPI dan akan bersambung pada hari seterusnya.

Iqbal berkata rusuhan itu berkemungkinan akan diteruskan di hadapan bangunan parlimen pada dua atau tiga minggu lagi.

Rusuhan tersebut dipercayai berlaku selepas Presiden Indonesia, Joko Widodo mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak 30 peratus.

Sehubungan itu, demonstrasi dilakukan bagi menghalang kenaikan itu berlaku ekoran isu tersebut merupakan topik sensetif bagi warga Indonesia ekoran implikasinya amat besar.

Sementara itu beberapa rakaman menunjukkan hiruk pikuk keadaan demonstrasi orang awam melawan pihak berkuasa.

Sumber: CNBC Indonesia